Altimet, Awi Rafael |
Bukan penyanyi picisan
NAMA Altimet, Awi Rafael dan Asmidar, sememangnya tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air tempatan. Punya bakat tersendiri, tiga nama ini sentiasa tampil dengan karya-karya baru yang pastinya mencuri tumpuan ramai.
Pun begitu ia bukanlah jaminan untuk mereka meraih populariti yang tinggi dan sehingga kini mereka masih belum merasai puncak populariti seperti mana rakan-rakan seangkatan mereka.
Akur dengan situasi itu, baik Altimet, Awi, mahupun Asmidar, populariti bukanlah keutamaan mereka. Di atas minat dan bakat dimiliki, mereka bertiga tetap bersyukur kerana masih diberi ruang untuk bernafas dalam industri.
Mungkin wajah mereka jarang muncul di kaca TV, mahupun di dada-dada akhbar, namun mereka bukanlah artis picisan dalam industri.
Tanpa publisiti mahupun kontroversi, hakikatnya mereka masih rancak menerima tawaran nyanyian. Memilih untuk tidak terlalu menonjol, Altimet, Awi dan Asmidar lebih selesa bersikap ' low profile'.
Malah ketiga mereka lebih memilih untuk 'menyepi' daripada sengaja mencipta kontroversi murahan demi meraih perhatian peminat. Bukan sekadar omongan kosong, ketiga mereka kini semakin rancak merencanakan karier seni. Jom kita ikuti ceritera mereka!
Altimet, Awi Rafael dan Asmidar |
Altimet rakam album baru
Terkenal dengan imej hip hop, Altimet semakin sibuk menguruskan persiapan rakaman dua album terbarunya yang kini hampir 80 peratus siap.
Hanya tinggal sebulan sahaja lagi, dia terpaksa memilih tawaran nyanyian kerana jadual masa yang agak padat ketika ini.
"Syukur, alhamdulillah. Kedua album ini akan dilancarkan November depan.
"Lirik dan muzik, semuanya dicipta oleh saya," katanya yang bekerjasama dengan DJ Fuzz dalam salah satu album tersebut.
Menurut Altimet, album tersebut akan memuatkan 10 hingga 15 lagu, bagaimanapun ia masih lagi dalam proses pemilihan.
Terkenal dengan lagu rakyat, Altimet berkata, dia banyak mendekati masyarakat sekeliling untuk menghasilkan lagu.
"Seorang wartawan pernah memberitahu saya, jika ingin buat lagu rakyat kita harus bertemu dan bercakap dengan mereka.
"Begitulah lagu Kalau Aku Kaya terhasil. Saya lakukan tinjauan ke atas 30 orang mengenai perkara ini.
"Namun bukan semua lagu saya guna cara ini, tetapi jika lagu kita berkaitan kehidupan rakyat baru ia digunakan," katanya yang gembira dengan single terbarunya itu.
Lagu kontroversi?
Sebelum ini, Altimet pernah mengamuk apabila lagu terbarunya, Kalau Aku Kaya, itu dimainkan lebih awal daripada perancangan asal.
Tindakannya itu turut mengejutkan ramai pihak. Enggan memperbesarkan lagi isu tersebut, Altimet kini semakin berhati-hati mengatur langkah.
"Ia adalah hasil titik peluh kita tetapi ada pihak tidak menghormati pencipta lagu antara sebab perkara ini berlaku.
"Anggap sahaja ia sebagai pengajaran dan saya perlu berhati-hati supaya ia tidak berulang lagi," katanya.
Mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, Altimet terpaksa menukar strategi pemasaran mengikut keadaan semasa.
"Saya tidak akan menyerahkan ciptaan dan karya sewenang-wenangnya selagi belum tiba masa pelancaran single terbaru.
"Selepas kejadian ini, saya sedar kita tidak boleh mempercayai seseorang seratus peratus," tegasnya.
Ditebak mengenai pemilihan rakan duetnya Awi Rafael, dia berkata suara penyanyi tersebut sangat sesuai dengan rentak lagu ciptaannya itu.
"Apabila lagu ini siap, saya terus ajak Awi untuk bekerjasama.
"Setelah dia melihat lirik lagu ini, Alhamdulillah hatinya terbuka untuk menyanyi bersama," ujar Altimet.
Asmidar belum menyepi
Sementara itu, juara musim pertama Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar kini sibuk memenuhi undangan nyanyian sempena Syawal ini.
Jarang muncul di kaca TV, bukan bermakna dia sudah berhenti menyanyi sebaliknya lebih fokus kepada pelancaran single terbarunya, Bila Cinta Ada.
Selepas kejayaan lagu pertamanya, Kali Pertama dia kini lebih matang memilih lagu yang sesuai dengan suaranya.
"Alhamdulillah... saya tidak sangka lagu ini mendapat sambutan pendengar. Mulanya saya agak takut dengan penerimaan peminat, namun syukur segala-galanya berjalan dengan lancar," katanya.
Berbalik mengenai lagu bergenre balada itu, Asmidar berkata, dia mahu lagu tersebut dapat diterima sebagaimana sambutan terhadap Kali Pertama.
"Lagu kedua ini beri cabaran hebat terutama dari segi vokal kerana rentaknya lebih sukar.
"Saya perlu membawakan nada lebih tinggi memandangkan suara saya bukan jenis high pitching," ujar Asmidar.
Teringin berlakon
Ditanya mengenai tawaran lakonan, dia berkata ada menerima namun bukan rezekinya ketika itu kerana terikat dengan jadual yang telah ditetapkan pihak pengurusan.
"Mungkin tiada rezeki saya. Lagipun masa penggambaran drama itu agak panjang dan tertindih dengan jadual yang sedia ada.
"Jika ada tawaran lakonan selepas ini, mungkin saya akan menerimanya selepas menimbang kesesuaian watak dan masa," katanya.
Melihat imejnya yang kini semakin anggun, Asmidar berkata, status artis yang dimiliki membuatkan dia semakin peka menjaga keterampilan.
“Pada awalnya, memang saya tidak pandai bergaya, tetapi setelah diberi nasihat dan tunjuk ajar, saya semakin pandai membawa diri,” kata penyanyi berusia 27 tahun ini.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.