Pas sedia jadi penasihat BN

Pas sedia jadi penasihat BN
Pas kini bukan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, sebaliknya hanya ingin memperbetulkan dasar BN

Pas bersedia untuk menjadi penasihat keajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bersedia untuk mengubah dasar pentadbirannya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perjuangan parti Islam itu kini adalah untuk mengubah dasar pentadbiran dan bukan semata-mata mahu merebut jawatan atau tampok kepimpinan negara.

“Pas sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya UMNO ubah dasar pemerintahan.

“Kita bukan gilakan kuasa atau mahu kuasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita ambil pendekatan lain iaitu ambil alih pemerintahan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.

Jelas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu, Pas kini bukan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi hanya ingin memperbetulkan dasar.

“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikat kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau pada dasarnya bersetuju dengan bantuan-bantuan yang diberi kerajaan terhadap rakyat, sebaliknya, tidak bersetuju dengan cara pelaksanaan bantuan itu kerana didakwa berlaku banyak kepincangan.

“Setuju dengan UMNO bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana Pas lebih selesa duduk di luar BN, bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan UMNO.

“Sebagai langkah untuk perbetulkan kerajaan, Pas sedia menghantar pasukan untuk berbincang dengan UMNO baik mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan , kejatuhan ringgit dan sebagainya,” jelasnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers