Kenyataan sesetengah pihak, khususnya daripada kalangan bukan Melayu, bahawa peranan bahasa Melayu di negara ini adalah semata-mata untuk tujuan komunikasi antara rakyat, bukan sahaja dangkal. Ia juga memperlihat betapa jahilnya beberapa pihak tertentu mengenai hubungan antara nasionalisme dan patriotisme dengan bahasa negara.
Sehubungan ini, mereka ini menolak kaitan antara semangat kebangsaan dan patriotik dengan kecekapan berbahasa Melayu. Bagi mereka ini, peranan bahasa Melayu adalah cuma untuk membolehkan rakyat berhubungan antara satu sama lain. Itu pun untuk mereka yang ingin menggunakannya.
Dalam hal ini, bagi mereka, kecekapan dalam bahasa Melayu tidak penting. Asal sahaja bahasa Melayu yang digunakan itu berjaya memenuhi tujuan komunikasi, peranannya bukan sahaja disifatkan sudah terlaksana dari segi berkongsi mesej antara penyampai dan penerima. Tetapi ia juga dianggap berjaya menjadi wahana interaksi antara kaum apabila digunakan antara penutur Melayu dengan yang bukan Melayu.
Tidak dapat dinafikan semua ini penting. Bagaimanapun, menjadi kesalahan besar kalau itu saja peranan penting yang difikirkan dapat dimainkan bahasa, lebih-lebih lagi apabila bahasa berkenaan adalah bahasa negara.
Wajib kuasai bahasa Melayu
Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu hendaklah dikuasai dengan baik oleh setiap warga negara Malaysia. Hal ini wajib bukan saja kerana ia dituntut dalam Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian Kerakyatan. Ia juga penting kerana ia mempunyai kaitan dengan sikap rakyat mengenai jati diri negara dan cara mereka sebagai warganegara mendukungnya selain memeliharanya pada setiap masa.
Sebagai warganegara Malaysia, kita wajib mempunyai pengetahuan yang baik mengenai bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita. Selain ini, kita juga harus fasih menuturnya. Dari segi kenegaraan pula, kita selaku warga negara wajib membantu dalam menegas dan menegakkan kedaulatan Malaysia, khususnya dari segi budaya. Antaranya dengan memperlihat perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara.
Sebenarnya mereka ini menyedari peri pentingnya bahasa dari segi lain dan ia bukan hanya untuk tujuan komunikasi. Ini dapat dilihat pada cara mereka ini mempertahan bahasa etnik masing-masing dalam sistem pendidikan negara. Ini menunjukkan mereka mengetahui peranan bahasa, khususnya dari segi jati diri.
Bahasa adalah lambang terpenting untuk mengekalkan jati diri sesuatu kelompok itu. Akan tetapi oleh sebab sikap buruk mereka, hal sepenting ini mahu dikesamping untuk bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara, dengan mengatakan peranannya adalah untuk tujuan komunikasi sahaja.
Sikap sebegini perlu diperbetul segera agar tingkah laku mereka ini yang tidak mempedulikan bahasa Melayu dapat dibanteras. Ia ikut mencakupi dua persoalan besar dan serius, iaitu keterikatan dengan dan kepedulian terhadap negara ini.
Dua perkara ini pula mempunyai kaitan rapat dengan nasionalisme, iaitu perasaan bangga yang amat sangat terhadap negara. Ini sudah tentu akan membawa kepada patriotisme, iaitu perasaan cinta yang kuat sekali kepada negara sehingga sanggup mempertahannya.
Perjelas konsep kenegaraan
Sehubungan ini, mungkin kita memerlukan satu fahaman tuntas tentang bahasa negara. Dalam hal ini, beberapa konsep kenegaraan perlu dijelaskan kepada rakyat. Pertama ialah apa itu 'nation', iaitu negara yang terdiri daripada rakyat yang berkongsi bahasa dan budaya yang sama. Kedua ialah jati diri negara, iaitu perasaan kesatuan yang utuh sebagai rakyat yang bersatu padu, dalam bentuk pendukungan dan pengamalan bahasa dan budaya yang sama.
Ketiga ialah perasaan bangga, sayang dan setia selepas lahirnya kalbu keterikatan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat kepada negara, melalui bahasa dan budaya yang sama. Keempat ialah ciri sikap nasionalistik dan patriotik, dalam kaitan nasionalisme dan patriotisme linguistik bahasa Melayu dan kebudayaan kebangsaan.
Walaupun fahamannya sebegini, ia tetap mempertahan prinsip kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembentukan negara ini. Ini bermakna bahasa dan budaya kaum bukan Melayu tidak sesekali disekat dari segi penggunaan dan pengamalannya, terutama dalam lingkungan etnisiti masing-masing.
Akan tetapi, pada peringkat negara, bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan. Begitu juga dengan budaya Melayu yang menjadi teras kebudayaan kebangsaan. Ini sepatutnya sudah lama menjadi naluri kita sebagai rakyat.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.