Khairy cadang 30 peratus calon PRU daripada golongan muda bawah 40 tahun

KOTA BHARU: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan 30 peratus calon pilihan raya umum akan datang terdiri daripada golongan muda berusia bawah 40 tahun.

Beliau berkata, kini tidak sampai empat peratus calon yang menang peringkat Parlimen pada pilihan raya umum lepas, berusia bawah 40 tahun.

"Kita harap pucuk pimpinan parti boleh mempertimbangkannya supaya calon pilihan raya umum terdiri daripada golongan muda sama ada lelaki dan wanita yang berusia bawah 40 tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno bahagian Kota Baharu di sini, hari ini.

Khairy berkata, langkah tersebut sebagai memberi peluang kepada golongan muda yang terdiri daripada pelbagai bidang kerjaya termasuk profesional menjadi pemimpin pelapis yang cemerlang pada masa depan.

"Perkaderan sudah ada banyak peningkatan, sudah ada ramai pemimpin baharu berumur 20an dari golongan profesional dan pemimpin mahasiswa ramai bersama kita, beri platform kepada mereka untuk menjadi pemimpin pelapis," katanya.

Beliau berkata usaha meramaikan pemimpin muda daripada pelbagai latar belakang kerjaya yang semakin rancak sekarang memberi isyarat kepada rakyat bahawa UMNO sedang berubah dengan barisan pemimpin pelapis baharu.

"Dalam kalangan jawatankuasa pusat Pemuda, saya sedang mencari pemimpin yang boleh mengambil alih tugas supaya peralihan bagi pemimpin yang melepasi had umur 40 tahun akan berjalan lancar," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Khairy menekankan UMNO Kelantan perlu memperkukuhkan perpaduan bagi membolehkan Barisan Nasional kembali memerintah negeri ini pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers