Siapa juara Ratu Rania?

Siapa juara Ratu Rania?
Dua finalis itu ialah, Aida atau nama sebenarnya, Normazuraida Zakaria (kanan), 34, dan Watie (Rosnawati Bachok) (kiri), 37. -Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki

Siapa juara Ratu Rania?


SETELAH bersiaran selama sembilan minggu, dua peserta program realiti, Ratu Rania, berjaya mara ke pentas akhir untuk berentap meraih gelaran juara.

Dua finalis itu ialah, Aida atau nama sebenarnya, Normazuraida Zakaria, 34, dan Watie (Rosnawati Bachok), 37.

Berjaya menewaskan lapan peserta lain, baik Aida mahupun Watie, cabaran yang menunggu di pentas akhir sememangnya lebih sengit berbanding sebelum ini.

Menurut Aida, jika sebelum ini dia perlu bersaing dengan beberapa peserta lain, kini dia perlu berentap dengan Watie yang tidak kurang hebat.

"Sejujurnya, Watie bukanlah calang-calang peserta. Dia memiliki personaliti yang menarik dan bidang peragaan merupakan 'makanan'nya.

"Dari segi kekuatan, mungkin Watie lebih bijak dalam gaya 'posing' kerana dia adalah model. Namun, Insya-Allah, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk merangkul kemenangan itu.

"Namun, saya yakin, kelebihan yang ada pada diri saya dalam segi bicara dan kupasan idea mampu menandingi Watie," katanya yang berkhidmat sebagai Pegawai Staf Tadbir, di Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia.

Sementara itu, Watie juga turut mengakui kelebihan yang ada pada Aida yang dilihat mampu menandingi dirinya.

"Aida bukan sahaja cantik, tapi pandai bergaya. Namun, tidak semestinya saya perlu berundur selangkah daripadanya.

"Ketika menyertai Ratu Rania, saya memang tak sangka akan berada sehingga ke tahap ini. Peluang yang ada saya gunakan untuk membuat persiapan dari segi ilmu, penjagaan diri dan  kesihatan.

"Bila dah sampai di tahap ini, saya memang teringin untuk bergelar juara dan membuktikan kemampuan saya," katanya yang bekerja sebagai pegawai tadbir dan model sambilan.

Pentas akhir Ratu Rania akan bersiaran pada 20 November ini, jam 9.30 malam menerusi saluran Astro Prima (105).

Juara Ratu Rania bakal membawa pulang hadiah utama bernilai, RM50,000 termasuk wang tunai sebanyak RM25,000 berserta kontrak selama setahun untuk iklan cetak dan elektronik Kempen Safi dan barangan produk Safi Rania bernilai RM3,000.

Finalis ini akan dinilai berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus pihak juri mengikut tiga kriteria utama iaitu keyakinan diri, pengetahuan dan personaliti.

Rai anak-anak yatim

Menurut Watie, sekiranya rezeki berpihak kepadanya, ibu kepada tiga cahaya mata ini merancang untuk menggunakan wang tunai yang dimenangi ke arah kebaikan.

Menurut ibu kepada, Puteri Ameyra Syuhada, 16, Puteri Amesya Natrah, 11, dan Puteri Ailhanna Najeehah, 9, ini, dia membuat empat perancangan.

"Sebenarnya, ibu bapa mertua saya sedang sakit. Jadi, saya berhasrat untuk gunakan duit itu untuk membantu meringankan beban mereka.

"Selain itu, saya ingin mengadakan majlis kesyukuran dan menziarahi adik-adik di Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.

"Selain itu, saya juga ingin membawa anak dan suami bercuti," katanya yang terpaksa ulang alik setiap minggu dari ibu kota ke rumahnya, di Johor Bahru.

Tambah Watie, sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada suami dan anak-anak merupakan kekuatannya untuk terus berjaya.

"Saya bersyukur kerana suami sangat memahami dan anak-anak juga merupakan tulang belakang saya. Malah, mereka merupakan pengkritik saya sepanjang berada di pentas ini.

"Sepanjang menyertai Ratu Rania, suami saya yang bekerja sebagai guru terpaksa mengambil alih kerja saya di rumah termasuk mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah," katanya yang pernah memenangi pertandingan ratu cantik anjuran negeri Johor.

Cabaran ibu tunggal

Sementara itu, Aida yang juga ibu kepada putera tunggalnya, Danish Izwan, 8, turut mempunyai perancangan sendiri termasuk menziarahi anak-anak yatim di tempat yang sama.

"Memandangkan rumah anak-anak yatim itu merupakan salah satu lokasi dalam cabaran episod Ratu Rania, saya juga ingin meraikan mereka.

"Selain itu, saya juga akan mengadakan majlis kesyukuran meraikan kemenangan itu. Saya juga akan membawa anak saya bercuti.

Tidak kira menang atau tidak, saya akan bawa anak bercuti. Cuma, jika menang, lokasinya mungkin jauh sedikit," katanya yang bergelar ibu tunggal hampir enam tahun.

Walaupun terlibat dalam rancangan realiti ini, Aida tetap menguruskan anak dan kerjaya seperti biasa.

"Saya tetap bekerja seperti biasa dan tugas menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah tetap saya lakukan sendiri.

"Saya tidak selesa membiarkan anak pergi ke sekolah sendiri kerana waktu yang ada akan digunakan sebaik mungkin bersama.

"Dalam segi kerja pula, saya memang menerapkan nilai disiplin dan personaliti saya berubah mengikut persekitaran. Paling terharu, staf saya juga turut memberi sokongan dalam Ratu Rania dan menonton episod demi episod," katanya yang baru sahaja
ditukarkan berkhidmat di Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) pada tahun lalu dan sebelum ini, di Lumut, Perak.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers