Taleeb Mizad |
Taleeb Mizad bakat dari Youtube
SELALUNYA, penyanyi kelahiran Youtube terdiri daripada wanita. Lihat saja Ana Raffali, Zee Avi, Yuna dan Melda Ahmad.
Namun kini, tibalah giliran Taleeb Mizad atau nama sebenarnya Abdul Muttaleeb Mizad mencuba nasib.
Taleeb sebelum ini hanyalah dikenali oleh penggemar Youtube kerana sering memuat naik video ‘cover’ lagu-lagu popular seperti Ku Pinang Kau Dengan Bismillah, Ombak Rindu dan I’m Yours dan dari situlah dia mula mengumpul peminat setia yang menyukai alunan suaranya.
Walaupun dia masih lagi mengekalkan gaya yang sama iaitu menyanyi sambil bertemankan gitar sehinggakan ada sebilangan yang menganggapnya sebagai klon Ainan Tasneem dan Najwa Latif versi lelaki. Bagaimanapun, itu bukanlah menjadi persoalannya.
Bakat pada anak muda ini memang tidak boleh dipandang enteng sementelah apabila dia berjaya memenangi kategori Nova Media Baru semasa Anugerah Planet Muzik (APM) 2012 di Singapura.
“Pemenang bagi kategori ini dibuat berdasarkan undian orang ramai bagi Youtubers di peringkat antarabangsa dan saya sendiri tidak menyangka akan menang.
“Tak sangka pula ramai yang mengundi lagu itu hingga melayakkan saya menjadi pilihan dalam kategori tersebut,” katanya pada Zass.
Susulan kemenangan itu, anak muda yang berasal dari Johor Bharu ini mengakui menerima pelbagai tawaran daripada beberapa syarikat rakaman tempatan dan juga dari Singapura serta Indonesia yang berminat dengan bakatnya.
Namun begitu, setelah berfikir dengan begitu mendalam, dia akhirnya nekad untuk bernaung di bawah Hijjaz Records, yang lebih kepada genre nasyid.
“Kalau diikutkan genre saya lebih kepada ‘ala-ala Indonesia’ kerana susunan muziknya yang amat mendamaikan.
“Genre nasyid pula adalah sesuatu yang baru bagi saya, namun genre tersebut telah diubahsuaikan agar lebih moden dan saya suka mencubanya,” katanya.
Taleeb Mizad |
Istikharah demi karier
Nama Taleeb mungkin belum rancak diperbualkan dalam industri, namun bakat besar yang ada pada lelaki ini tidak boleh dipandang sebelah mata.
Dia sebenarnya punya pengalaman bermain muzik sejak di bangku sekolah lagi.
Bakatnya itu mula dikesan apabila dia terlibat dalam Simfoni Orkestra ketika belajar di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban yang membawanya mengembara bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya sukakan muzik, malah sejak umur 13 tahun lagi, saya sudah terlibat dalam kumpulan orkestra,” kata anak keempat dari lima beradik ini.
Selain itu, Taleeb bukan sahaja berbakat dalam penciptaan lagu, malah dia juga boleh bermain beberapa alat muzik dan pakar bermain seruling.
Begitu pun, disebabkan minat mendalamnya terhadap muzik, telah membawa Taleeb menyertai Uji Bakat Pencarian Artis Baru Hijjaz Records dan terus diikat syarikat rakaman itu.
“Sebelum mengikat janji dengan Hijjaz Records, saya buat istikharah dan berbincang dahulu dengan keluarga, kerana bukan mudah untuk membuat keputusan dan memilih syarikat rakaman.
“Alhamdulillah, keluarga bersetuju dan saya pula ingin terus berdakwah melalui lagi-lagu dan saya percaya Hijjaz Records adalah yang terbaik,” katanya.
Malah, katanya, Hijjaz Records juga dipilih adalah kerana dia tidak mahu tersasar dari matlamat asalnya dalam bidang nyanyian.
“Saya tak mahu lari daripada perjuangan asal. Kalau menyertai syarikat lain mungkin mereka akan menyarankan saya cuba genre lain yang lebih popular dan mengikut kehendak semasa.
"Tapi saya lebih rela memilih jalan ini kerana mahu berdakwah kepada pendengar.
"Berdakwah menerusi lagu tidak bermaksud mesti menyanyikan lagu nasyid tapi juga boleh dimodenkan mengikut peredaran masa," katanya.
'Syukur Alhamdulillah'
Setelah lebih 10 bulan bernaung di bawah Hijjaz Records, Taleeb akhirnya nekad untuk memasarkan album pertamanya, Syukur Alhamdulillah pada Oktober lalu.
Walaupun menyedari namanya masih belum popular, namun keberaniannya untuk mengeluarkan album wajar dipuji.
Album Syukur Alhamdulillah mengandungi enam lagu iaitu Ku Bersyukur, Akulah HambaMu, Restu Cinta, Setiaku Disini, Perutusan Rinduku dan Cinta Dalam Hati.
“Semuanya telah dipersetujui oleh pihak saya dan syarikat rakaman sejak awal kerjasama kami dulu. Lagu-lagu yang dimuatkan tidak terlalu rigid dan semasa.
“Sebab itu, album ini menggunakan ramai pemuzik berbakat seperti Sham Kamikaze dan Eddie Marzuki selain mendapatkan khidmat dari ahli-ahli kumpulan Hijjaz sendiri iaitu Muniff, Faizal dan Isman bagi menyempurnakan album ini.
“Ini pengalaman baru buat saya. Sudah pasti saya mengharapkan peminat akan mendengar dan menilai lagu-lagu ini,” katanya.
Tambahnya lagi, lagu Restu Cinta adalah ciptaannya sendiri dan dia mendapat inspirasi daripada lagu Maher Zain, iaitu For The Rest Of My Life.
"Restu Cinta bergenre pop ketuhanan dan ia mengisahkan sepasang suami isteri yang memilih jalan yang benar dan mengharapkan redha ALLAH SWT," katanya.
Selain itu, katanya dia bukanlah menyanyikan lagu yang berunsur kepada nasyid semata-mata, tetapi lagu itu telah diubahsuai mengikut melodi yang bersesuaian.
“Seperti lagu Ku Bersyukur dan Restu Cinta misalnya, lagu tersebut lebih kepada lagu pop ketuhanan tetapi masih lagi menyelitkan unsur dakwah.
“Ini yang saya impikan sejak dulu. Insya-ALLAH selain dapat berhibur lagu-lagu ini juga boleh mendekatkan kita dengan pencipta,” katanya yang teringin bekerjasama dengan Hafiz AF dan Pasha Ungu suatu hari nanti.
Jelasnya lagi, lagu-lagunya dalam album ini bersifat universal dan semua golongan boleh mendengar sekali gus diharapkan dapat memberi suntikan semangat serta nasihat berguna buat mereka yang mendengar.
"Setakat ini, maklum balas yang saya terima semuanya positif dan jualannya turut memberangsangkan," katanya lagi.
Jadi arkitek?
Jangan tidak tahu, selain minat dengan muzik, Taleeb juga minat melukis.
Justeru, tidak hairanlah apabila dia memilih jurusan seni bina dan kini masih lagi bergelar mahasiswa tahun akhir di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
“Saya suka lukisan dan saya memang minat dengan bidang arkitek.
“Impian saya adalah untuk membina bangunan yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai,” jelasnya yang kagum pada binaan bangunan Piramid, Menara Eiffel dan Galeri Glulam Johor Bharu.
Ekoran minatnya yang mendalam pada kerjaya arkitek, Taleeb tidak teragak-agak untuk terus fokus dalam bidang ini suatu hari nanti.
“Fokus saya tetap pada kerjaya arkitek manakala dunia seni suara hanyalah sampingan. Kerjaya ini juga adalah fleksibel, jadi saya cuba untuk membahagikan masa di antara kedua-duanya.
“Tetapi, jika rezeki saya lebih pada nyanyian, maka saya akan terima,” katanya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.