Hazama mahu karya diiktiraf di persada dunia

Hazama mahu karya diiktiraf di persada dunia
Hazama

Hazama mahu karya diiktiraf di persada dunia


PENYANYI kelahiran program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi mahu muziknya mencerminkan identiti Melayu dan dapat diangkat di persada antarabangsa.

Katanya, ia sebagai tanda muzik kita dikenali dan terus menjadi tanda dengan mempopularkan muzik gabungan elemen-elemen tradisi Melayu.

“Saya berharap lagu kita dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa supaya orang luar dapat menilai identiti kita.

“Dengan alunan muzik dan suntikan berunsur jawa dan beberapa elemen, muzik yang diperjuangkan dapat diangkat menjadi warisan budaya Melayu di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hazama yang kini sedang dalam mempromosikan single berjudul Penglipur Lara yang dimuatkan dalam album pertamanya, juga berjudul sama turut menegaskan dia mencari sesuatu kelainan dalam menghasilkan sesebuah karya.

Katanya, dengan mengetengahkan muzik moderate pop dan menyuntik unsur jawa dalam albumnya itu dapat memberikan idea segar kepada rakan artis yang lain untuk turut menyuntik elemen kemelayuan dalam karya masing-masing.

“Saya masih lagi dalam rangka promosi album ini dan berharap peminat dapat menerimanya. Setakat ini, saya lihat peminat sudah mula menerima muzik yang cuba saya perjuangkan,” katanya yang mengambil masa hampir setahun menyiapkan album ini sepenuhnya.

 Hazama juga berharap sebuah lagu ciptaannya bersama Omar K, yang berjudul Dengarlah mendapat sambutan.

Turut memuatkan sembilan buah lagu, yang mana enam darinya lagu baharu dan tiga lagi merupakan lagu bonus, Hazama berkata, ia merupakan buah tangan yang sangat bermakna untuk peminat setianya.

“Album pertama ini menampilkan sisi berbeza saya kerana sebelum ini peminat mengenali dan mahu saya menyanyikan lagu bergenre rock, tetapi saya menyuntik elemen pop dan saya akui kebanyakan lagu yang dihasilkan menerusi album ini mempunyai kelebihan tersendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hazama yang  dicalonkan dalam empat kategori Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) akan bertanding untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Kulit Album Terbaik, Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di dalam Lagu bersama kumpulan SleeQ.

Tumpu promosi

Menurut Hazama, keutamaannya kini lebih pada nyanyian dan dia terpaksa berehat dari lakonan demi mempromosikan album tersebut.  

“Minat saya lebih kepada bidang nyanyian. Namun, saya tetap akan terima  tawaran lakonan asalkan watak diberikan bersesuaian dan mudah  saya lakonkan,” katanya yang pernah membintangi filem Lari arahan Ahmad Idham.
Ditanya mengenai bila lagi dia akan berkahwin dengan kekasih hatinya yang bernama Genervia, Hazama berkata, dia enggan terburu-buru.

“Kami baru berkenalan dan saya berserah kepada ALLAH SWT. Kalau sudah sampai jodoh, saya terima," katanya yang mengakui semakin serasi dengan wanita itu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers