AF2013 - Pasangan Azhael Bakal kembali?

AF2013 - Pasangan Azhael Bakal kembali?

AF2013 - Pasangan Azhael Bakal kembali?


RATA-rata peminat terkejut dengan penyingkiran Azhael, pasangan duo yang dianggotai Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi melalui konsert separuh akhir yang berlangsung di stadium Bukit Jalil, malam kelmarin.

Azhael yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Lelaki Ini nyanyian asal oleh Anuar Zain dan Kembali Merindu nyanyian asal oleh Slam itu tersingkir selepas mendapat undian terendah sebanyak 15.83 peratus.

Pengkritik tetap, Roslan Aziz, Edry Abdul Halim, Sharifah Amani dan Inspirer, Datuk Siti Nurhaliza  juga tidak menyangka apabila nama pasangan duo itu tidak disenaraikan sebagai pelajar ke konsert akhir, kerana merasakan pelajar itu sering memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu.

Menurut Siti, kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan pengundi Azhael berasa selesa dengan kedudukan undian Azhael yang sebelum ini sentiasa berada di kedudukan yang tertinggi hingga menyebabkan mereka tidak berusaha untuk mengundi pasangan duo itu.

“Saya memang terkejut kerana Azhael merupakan pelajar kegemaran saya. Namun saya yakin, sudah ada tempat untuk mereka di luar sana, memandangkan mereka adalah antara pelajar terbaik AF2013," katanya yang terkilan dengan penyingkiran Azhael.

Bagaimanapun, tidak mustahil jika sistem undi masuk semula pelajar yang tersingkir akan dilakukan akademi ini untuk meneruskan konsert akhir seperti mana musim terdahulu.

Bahkan ia turut diakui oleh, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, yang menyifatkan AF terlalu banyak kejutan.

“Pelbagai kejutan boleh berlaku termasuklah menyerap semula pelajar yang tersingkir.

“Kita lihat saja sama ada kejutan ini ada ataupun tidak melalui interaksi dan reaksi penonton dengan peserta AF menerusi Twitter,” katanya yang sebelum ini turut menyerap masuk Amira untuk ke konsert separuh akhir AF2013.

Katanya, kemungkinan akan ada undi masuk dan peratusan undian akan dinilai sebaik sahaja  informasi terkini diberikan menerusi program seperti AF Buzz yang ke udara setiap Isnin, Diari AF pada Selasa hingga Khamis dan Terus Gempak, Inilah AF (TGI AF) pada hari Jumaat.

AF2013 - Pasangan Azhael Bakal kembali?

Ingin mara ke Final

Terpaksa akur dengan keputusan itu, Azhael yang ditemui selepas konsert separuh akhir itu bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihan mereka.

"Memang kami terkilan, tapi kami bersyukur kerana dapat bertahan hingga ke peringkat ini.

"Kami sudah cuba melakukan yang terbaik dan kami membuktikan bahawa duo seperti kami juga dapat diterima peminat," kata Azhael.

Tipulah sekiranya mereka tidak ingin beraksi lagi di konsert akhir AF2013. Malah dua anak muda ini sangat berharap sekiranya undi masuk dapat dibuka untuk mereka bertanding bersama pelajar lain.

“Sememangnya kami berharap akan diterima masuk semula sekiranya kami ada peluang melayakkan diri ke peringkat akhir.

“Moga ada keajaiban nanti, kerana kami mahu berjuang bersama mereka yang telah melayakkan diri ke peringkat akhir,” kata mereka.

Selain Azhael, Indah merupakan pelajar kedua dengan peratusan terendah iaitu sebanyak 15.85 peratus, manakala undian tertinggi pula adalah milik Faizul, 18.17 peratus, diikuti dengan Amira, 17.30 peratus, Nabila, 16.86 peratus, dan Aisyah, 16 peratus.

Dengan penyingkiran Azhael itu, kini tinggal lima bintang AF2013 yang akan meneruskan perjuangan mereka untuk merebut gelaran juara.

Sementara itu, Siti turut mengulas mengenai isu pemilihan lagu yang dikatakan menjadi punca penyingkiran Azhael.

“Isu pemilihan lagu ini memang selalunya dibangkitkan, malah pemilihan lagu Malaysia saja disarankan kepada pelajar.

“Bagi saya tidak salah memilih lagu Indonesia, Inggeris atau apa pun, asalkan ia lagu hits,” katanya yang turut mengakui berdepan kesukaran untuk memilih lagu.

Empat pelajar dapat pujian

Konsert kali ini menyaksikan Faizul, Aishah, Amira dan Indah mendapat pujian daripada pengkritik tetap.

Percaturan terbaru dalam membawakan irama pop rock dan rock itu berjaya menyerlah vokal masingmasing.

Faizul yang menyampaikan lagu Bayangan Gurauan (Mega) dan Hilang Naluri dendangan Once, turut menerima kejutan dengan kehadiran aktres jelita, Nora Danish.

“Saya cuba mengambil ilmu yang diturunkan oleh Datuk Siti dan saya telah berusaha melakukan yang terbaik.

“Saya akui sangat selesa dengan genre ini. Tetapi tidak semestinya saya tidak mahu menyahut cabaran membawakan genre lain pada konsert akhir,” kata pelajar dari Tawau, Sabah ini.

Dua lagi peserta solo yang dilihat akan memberikan persaingan sengit dalam AF 2013 ialah adik kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Aishah atau Nur Aishah Aziz, 19, yang berjaya memukau juri dengan nyanyian tersendiri menerusi lagu Matahariku dendangan Agnes Monika dan Suci dalam debu nyanyian Iklim.

Tidak kurang hebatnya dengan persembahan Indah (Siti Ruhailah Hussein, 23,) dan Amira (Nadia Amira Othman, 20) menerusi lagu dendangan masing-masing.

AF2013 - Pasangan Azhael Bakal kembali?

Nabila masih terselamat

Sementara itu, minggu ini masih menyaksikan Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, terselamat dan terus mara ke peringkat akhir meskipun sering mendapat kritikan pedas dari setiap juri.

Membawakan lagu Tentang Rasa nyanyian asal Astrid dan Permata Biru nyanyian ratu rock negara, Ella, anak jati Kuala Lumpur ini berjaya meraih undian tertinggi untuk tiga minggu berturut-turut.

“Saya terima kritikan dengan hati terbuka walaupun masih banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki untuk persaingan dalam final nanti.

“Ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang dalam meraih tempat dalam industri ini.

“Saya percaya, saya akan berjaya ke AF2013 ini sebab bakat saya dan juga peminat yang sentiasa menyokong kehadiran saya di pentas AF,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers