Gafim rela Finas dirombak


Gafim rela Finas dirombak


SEJAK dua tahun kebelakangan ini, industri seni negara mengalami pelbagai permasalahan kronik.

Bukan sahaja terpaksa melalui fasa gelap kemerosotan kutipan filem setelah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memperkenalkan dua filem seminggu menerusi Skim Wajib Tayang, malah permasalahan baru pula timbul.

Penyebaran filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, KL Gangster 2, dua bulan lebih awal dari tarikh tayangan mula menghantui pembikin filem, dan Finas dilihat seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.

Selama dua tahun memerhatikan perjalanan pentadbiran Finas, sehingga ke hari ini masih belum menemui titik noktah dalam menyelesaikan masalah baru dan lama.

Malah, tindakan Finas seperti lebih selesa mengunci mulut itu dilihat mengundang jurang antaranya dan industri.

Menyedari industri semakin jauh terpinggir, Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim), tampil mengadakan satu sidang media pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, ia bukan berniat untuk menghentam mahupun semata-mata mencari salah Finas, cuma Gafim selaku badan gabungan terbesar industri,  benar-benar mengharapkan Finas bertindak dan mencari jalan penyelesaian.

Sidang media dihadiri beberapa wakil persatuan termasuk, Presiden Seniman, Zed Zaidi, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham, Datuk Yusof Haslam, Richard And dan Yusof Kelana itu membincangkan mengenai kredibiliti Finas dalam mentadbir.

Kita ikuti tembual bersama Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, mengenai intipati sidang media yang diadakan di pejabat urusan Gafim, Desa Melawati, baru-baru ini.

Apakah intipati dalam sidang media khas tersebut?

Sebenarnya, sidang media ini untuk berbincang mengenai langkah seterusnya yang akan dibuat. Setelah berbincang dengan beberapa persatuan di bawah naungan Gafim, mereka bersetuju untuk mengadakan sidang media ini supaya kami dapat berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk membawa Finas bersama-sama menyelami permasalahan industri yang semakin nazak ini.

Sebelum sidang media khas ini diadakan, adakah Gafim pernah melakukan beberapa cara untuk mendapatkan kerjasama dengan Finas?

Pada 15 Mei lalu, Gafim ada menghantar surat rasmi untuk mendapatkan permohonan kunjungan hormat ke Finas. Namun, sehingga ke hari ini, Finas gagal memberi maklum balas mengenai perkara itu.

Saya sendiri hairan kenapa Finas 'liat' untuk beramah mesra dengan penggiat seni sedangkan ia merupakan badan kerajaan yang dipertanggungjawab memayungi industri. Kalau mereka tidak berkesempatan untuk menerima kunjungan kami buat masa ini, sila nyatakan.

Bukan diam seribu bahasa. Malah, walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, baru sahaja dilantik pada Mei lalu, beliau sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan penggiat seni.

Kenapa pula Finas sukar beri kerjasama? Dulu, Finas dapat mengadakan dialog bersama industri setiap tiga bulan, mengapa sekarang tiada lagi? Selain itu, Gafim juga turut menghantar surat pada September untuk mendapatkan taklimat mengenai dana iklan merdeka. Namun, kami masih gagal mendapat respons sehingga ke hari ini.

Kami mahukan penjelasan itu kerana ramai tertanya-tanya mengenai dana tersebut. Jadi, dengan penjelasan itu, kami boleh menjadi 'jurucakap' kepada industri.

Adakah ini bermaksud Finas tidak mampu buat kerja?

Saya tidak kata Finas langsung tidak membantu dalam industri, cuma sekarang badan ini dilihat tidak lagi agresif seperti dulu dalam menangani masalah industri perfileman tempatan.

Finas kini dilihat 'naif' seperti gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai badan yang membantu industri. Mislanya, sepanjang tahun ini, apa tindakan Finas dalam membantu menangani masalah industri perfileman? Apa tindakan mereka setelah filem KL Gangster bocor di Internet terlebih awal? Sekadar melakukan Operasi (Ops) Banteras dengan tujuh penguatkuasa itu untuk satu Malaysia, berjayakah? Tak ada pencegahan secara drastik dan nampak bersungguh-sungguh.

Sepatutnya, Finas perlu kumpul agensi tertentu, menubuhkan jawatankuasa dan membuat perbincangan untuk mengambil tindakan. Bukan senyap dan menunggu apa lagi masalah yang akan datang.

Tak takut dihentam seperti Ahmad Idham?

Kami bersuara bukan untuk menghentam atau menyerang secara peribadi. Namun, ia adalah teguran bagi menyedarkan Finas serta menyelamatkan industri yang semakin parah. Sebagai penggiat seni, kami sayang industri dan tidak mahu ianya terkubur atau di ambang kejatuhan.

Jangan kerana kami bersuara, Finas terus menghentam kami semahu-mahunya. Sepatutnya, mereka harus lihat dari sudut positif kerana sebagai badan kerajaan, mereka juga perlu menerima pandangan daripada pengamal industri.

Kami berada dalam industri ini lebih tahu mengenai masalah industri. Saya sebagai wakil Gafim tidak takut jika suara saya dianggap lebih lantang dan diboikot selepas ini kerana saya bersuara demi industri, bukan demi kepentingan peribadi.

Adakah anda rasa Finas perlu dirombak?

Ya, Finas sudah melalui beberapa fasa menuju ke arah yang semakin membimbangkan. Jadi, rombakan drastik perlu dilakukan agar Finas kembali bangun dan bertindak.

Jika rasa tidak mampu lagi memimpin atau menerajui Finas, sila letak jawatan dan berikan kepada mereka yang lebih berhak. Malah, sejak Finas bergabung dengan Filem Negara Malaysia (FNM), saya langsung tak nampak sebarang perubahan atau kerjasama positif dalam industri.

Malah, ia semakin teruk dan sukar untuk mendapatkan kerjasama. Apa yang mereka dah buat? Saya tak faham. Makin pelik, gabungan itu membuatkan Finas kini mampu menerbitkan drama sendiri.

Adakah Finas kini mahu mengambil alih peranan syarikat penerbitan pula? Mereka yang keluarkan lesen dan mereka juga yang terbitkan drama. Apa ni?? Selain itu, saya juga tidak diberitahu mengenai peruntukan yang disediakan untuk persatuan-persatuan seni tempatan.

Sekiranya keluhan Gafim tidak didengari Finas, adakah ada langkah seterusnya?

Gafim dan beberapa persatuan di bawah naungan akan berjumpa dengan menteri bagi membincangkan masalah ini. Mungkin dengan cara ini sahaja yang boleh membantu industri menyelesaikan masalah baru dan lama. Kami akan meminta menteri agar membuat sesuatu termasuk merombak semula pentadbiran Finas.

Malah, kami yakin, dengan rombakan sahaja ia mampu menyelamatkan Finas dalam membariskan kepimpinan  mantap. Kami sayangkan Finas dan mahu Finas sama-sama berganding bahu membawa industri ke tahap lebih maju. Tetapi, buat masa ini kami masih menanti jawapan daripada Finas untuk mencari resolusi dalam menangani masalah yang ada.

Finas tak boleh lepas tangan dan perlu melakukan tindakan drastik demi memastikan industri kita selamat dan gah.

Akhir sekali, apakah harapan anda untuk Finas?

Kami mohon Finas memanggil kami untuk majlis dialog dan berbincang mengenai isu industri. Selain itu,  kami mohon agar Finas bentang pelan perancangan pembangunan industri, hala tuju dan masa depan.

Gafim berharap Finas berani berdepan dengan industri dan jangan biarkan persepsi negatif terhadap kemampuan Finas mentadbir dan menguruskan industri berpanjangan.

iskandarX: Memang patut dirombak pun bukan takat rombak disband pastu buat Lembaga lain lagi bagus daripada terus ditembusi oleh parasit-parasit Lanun Cetak Rompak nie. Daripada duduk diam-diam mengunci mulut lebih baik hantar surat resign je tak payah makan duit gaji kat situ dah.



Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers