Dari kiri: Elaine, Sofea dan Dira buktikan kemampuan. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI |
Elaine, Sofea dan Dira buktikan kemampuan
Peluang untuk duduk di ‘kerusi’ pengarah digunakan sebaiknya oleh Elaine Daily, Datin Sofea Jane dan Dira Abu Zahar yang lebih dikenali sebagai pelakon.
Semua ini hanyalah kerana projek Ikal Mayang yang dilakukan oleh mereka sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.
Ikal Mayang merupakan cetusan idea daripada badan bukan kerajaan (NGO), Women: Girls, membabitkan 15 kompilasi filem pendek arahan 15 penggiat seni wanita dalam mengetengahkan isu-isu kehidupan golongan hawa.
Lebih membanggakan lagi, projek Ikal Mayang ini turut diundang menyertai Festival Filem Antarabangsa Busan ke-18 (BIFF18), di Busan, Korea Selatan, Oktober lalu.
Bagaimanapun, dalam mencuba sesuatu yang baru, baik Elaine Daily, Sofea Jane mahupun Dira Abu Zahar, bidang lakonan tetap menjadi pilihan utama.
Tertarik kerana Khairy Jamaluddin- Elaine Daily
Faktor penarik bagi filem pendek, Inspektor Wanita arahan bekas ratu cantik Malaysia dan pelakon, Elaine Daily ialah apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menunjukkan bakat lakonannya.
Membawa watak sebagai penjual ayam percik di sebuah pasar malam, ternyata, Ketua Pemuda Umno itu mempunyai bakat terpendam dalam bidang lakonan sehingga turut diakui oleh Elaine sendiri.
“Di set beliau seorang yang profesional. Semua dialog beliau hafal dan melakonkan babaknya dengan hanya dua kali ‘take’ saja,” kata pengacara program bual bicara, Bella,
Ceritanya lagi, keterlibatan Khairy dalam filem pendek ini adalah secara kebetulan dan tidak menyangka beliau akan menerima tawarannya.
“Saya terjumpa Khairy di sebuah acara pada Oktober tahun lalu dan terus bertanya sama ada dia berminat untuk berlakon dalam filem pendek saya atau tidak.
“Mulanya, dia bertanya adakah kemunculannya itu untuk sesuatu yang baik dan saya katakan sudah semestinya kerana filem saya ini adalah untuk memberi inspirasi kepada wanita. Lantas beliau terus bersetuju,” jelasnya.
Kata Elaine, Inspektor Mastura mengisahkan seorang polis wanita yang pada mulanya tidak percaya pada cinta tetapi akhirnya jatuh cinta dengan seorang penjual ayam percik.
“Saya tertarik pada keperibadian anggota polis wanita dan banyak mengikuti kes jenayah.
“Dalam kajian saya, setiap polis wanita itu mempunyai sejarah hidupnya yang tersendiri,” kata pemegang Ijazah Undang-Undang dari External University of London dan Sijil Amalan Guaman dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur itu.
Selain Khairy Jamaluddin, filem pendek itu turut menampilkan Sharifah Aleya, Beto Kusyairy dan penyampai radio Suria FM, Adibah Nor.
Bakal bertudung
Tambah Elaine lagi, pengalaman hasil kerjanya itu dijadikan batu loncatan untuknya terus mengarah dan menghasilkan filem yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya memang berhasrat untuk menghasilkan filem pada masa akan datang, tetapi saya tak rasa Khairy ada masa untuk berlakon lagi.
“Maklumlah, kini dia agak sibuk dengan pelbagai urusan berkaitan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pelakon Drama TV Wanita Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2010 itu berkata, dia kini baru saja tamat penggambaran telefilem Permata Hati di samping pelakon meningkat naik, Zul Ariffin.
“Dalam telefilem itu, saya memegang watak gadis bertudung. Dulu, saya diberi dengan watak yang stereotaip seperti model.
“Tetapi selepas kejayaan drama Satu Ketika...Apa Dosaku, ramai penerbit dan pengarah sudah mula buka mata dengan bakat lakonan saya,” katanya yang sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang.
Sofea Jane pilih 'anak luar nikah'
Kisah benar mengenai seorang remaja yang mengandung anak luar nikah menjadi subjek utama dalam filem pendek, 1-800-Baby karya Sofea Jane.
Selain bertindak sebagai pengarah, Sofea juga merupakan penulis skrip untuk filem pendek ini.
Filem pendek 1-800-Baby yang menampilkan gandingan pelakon berpengalaman seperti Normah Damanhuri, Nam Ron, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa berkisarkan seorang wanita bernama Salmah yang menggunakan rancangan temu bual televisyen untuk menjejak anaknya yang diserahkan kepada orang lain sejak bayi lagi.
“Ceritanya adalah mengenai seorang wanita yang diasingkan kerana dia menyimpan satu rahsia yang tidak dapat dikongsi dengan orang lain kerana tekanan politik, sosial dan agama di dalam masyarakat itu.
“Tetapi persoalannya, wajarkah bayi yang dikandungkan itu digugurkan atau sedia menanggung malu di kemudian hari? Hal ini berlaku kerana, kita tidak mempedulikan punca utamanya dan itu yang saya cuba dilontarkan,” katanya yang mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan skrip.
Tambahnya, dia cuba melontarkan semua persoalan yang bermain di mindanya kerana dia sendiri tidak mempunyai jawapan pada persoalan itu.
“Saya tampilkan sedikit kelainan apabila ibu itu sendiri yang berusaha untuk mencari anak yang ditinggalkan itu.
“Walau apa pun rintangannya, seorang ibu memang tidak akan pernah melupakan anaknya.
“Tetapi, persoalan saya sebagai penulis ialah di manakah peranan kita sebagai seorang masyarakat?,” katanya yang terlibat dengan kerja pra produksi selama sebulan setengah, termasuk penggambaran dua hari.
Serik mengarah?
Berbeza dengan Elaine, Sofia Jane yang terkenal menerusi filem Perempuan, Isteri dan... berkata, dia tidak berhasrat mengarahkan filem pada masa akan datang.
Menurutnya, projek filem pendek ini dibuat bertujuan memberi suara kepada wanita-wanita di dalam masyarakat yang mungkin tidak mempunyai suara itu.
“Ia dibuat menerusi program Ikal Mayang sempena menyambut Hari Wanita Sedunia.
“Saya tidak sangka ia akan berjalan jauh hingga ke Korea tetapi saya percaya bahawa semua pelakon harus menulis sesuatu walau sekecil manapun dan cuba mengarah sesuatu.
“Lagipun, ia tidak jauh dari apa yang kita lakukan sebagai pelakon iaitu bercerita. Itulah peranan story teller, itulah peranan pengarah dan itu juga peranan pelakon untuk bercerita,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Sofea akan beraksi di pentas teater karya Nam Ron di samping Vanidah Imran dan Sharifah Amani pada 1 hingga 3 November ini serta menantikan tayangan filem Hanyut yang dijangka keluar pada Disember nanti.
“Ada juga beberapa projek akan datang yang sedang dibincangkan,” katanya.
Dira bongkar 'Jerat Suami'
Filem pendek arahan sulung Dira Abu Zahar, Jerat Suami iaitu sebuah mokumentari yang memaparkan kisah wanita yang menjerat lelaki untuk mengahwini mereka di samping pengalaman seorang lelaki yang bernama Razi berkongsi pengalamannya
sendiri bersama-sama wanita yang dikahwininya.
“Isu wanita perlu berkahwin itu adalah sesuatu yang serius. Di negara kita, khususnya masyarakat Melayu, jika dilabel sebagai anak dara tua, itu memang menjadi satu masalah!
“Jadi, sebab itu saya keluar dengan Jerat Suami. Wanita zaman sekarang sanggup berbuat apa saja asalkan mereka tidak dilabel sebagai anak dara tua seperti menjerat suami atau menjerat diri sendiri,” kata bekas pengacara Melodi ini.
Menampilkan barisan pelakon ternama seperti Kavita Sidhu, Qi Razali, Tasha Shila dan Atilia Haron, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar berkata, dia bagaimanapun tidak melibatkan suaminya, Mohd Helmi Mohd Yusof, yang mempunyai pengalaman dalam bidang fotografi dan pengarahan filem.
“Suami cuma memberi galakan dan kongsi ideologi untuk membuat filem yang baik.
“Secara fizikalnya, dia tidak mengganggu malah tidak campur langsung dengan kerja-kerja saya.
“Ini membuatkan saya bebas untuk membuat semua kerja pengarahan," katanya yang kini berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip.
Serik cipta kontroversi
Sementara itu, Dira yang pernah mencetuskan kontroversi pada awal tahun lalu, apabila dia dikaitkan dengan dakwaan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur memberitahu kontroversi itu banyak memberi pengajaran buat dirinya.
“Ia banyak beri pengajaran dalam kehidupan saya terutamanya pandangan masyarakat, tapi saya tidak pernah peduli apa mereka fikir tentang saya.
“Hidup ni macam roda. Ada masa kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Pada saya turun naik itu normal cuma macam mana kita nak atasinya.
“Apa pun yang orang buat pada saya, saya terima dengan tenang. Bagi saya, saya tiada masalah,” katanya yang sedia untuk mengandung lagi.
Dalam perkembangan lain, Dira sedang menunggu tayangan filem Papadom 2 yang akan ke pawagam pada Disember nanti.
Igt tertarik ngan is td...rupenyeer ngan si kj...kikikikikiki....tgok mod mengomen dah sampaiii...
ReplyDeletekj??? apakah??? sila sila komen banyak lagi ruang entri yang kosong lan hehehehehe.
Delete