Kesal tuduhan Black 'Saya teraniaya'

Kesal tuduhan Black 'Saya teraniaya'
Perancang perkahwinan kesal tuduhan Black

Kesal tuduhan Black 'Saya teraniaya'


Dalam keterujaan melangkah ke alam perkahwinan bulan depan, juara Mentor musim ketiga ini dan tunangnya berdepan dengan cabaran yang tidak disangka.

Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 26, dia berasa ditipu oleh perancang perkahwinan yang dilantiknya setelah tiada perkembangan walaupun sudah membayar RM30,000 menerusi dua transaksi iaitu RM18,000 pada bulan April dan RM12,000 pada bulan Jun.

Justeru demi memastikan majlis perkahwinannya berjalan lancar, Black mengambil keputusan untuk memberhentikan khidmat perancang perkahwinan tersebut dan menyerahkan tugas persiapan perkahwinannya kepada pihak pengurusan.

Tidak berakhir setakat itu, usaha Black untuk mendapatkan kembali wang yang telah dibayar menemui jalan buntu apabila perancang perkahwinan tersebut dikatakan hanya berdiam diri.

Bagi memastikan nasibnya mendapat pembelaan sewajarnya, Black telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis dan juga bakal membawa isu ini ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Jika sebelum ini kita sering mendengar kenyataan Black, perancang perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Puan WP (Wedding Planner) tampil memberi penjelasan secara eksklusif kepada Zass.


Ikuti temu bual berikut:

Setelah lama isu ini menjadi sebutan, apakah yang membuatkan anda tampil untuk memberi kenyataan?

Puan WP: Tujuan saya tampil memberi kenyataan ini bukan mahu memburukkan sesiapa atau cuba untuk mencari gaduh.

Saya hanya mahu membersihkan nama saya dan ingin menegaskan saya tidak melesapkan duit Black seperti didakwanya. Lagipun, ini bukan pertama kali saya menguruskan majlis perkahwinan artis dan selama ini tidak pernah ada masalah yang berbangkit.

Boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu ini?

Puan WP: Saya berjumpa Black dalam satu majlis awal tahun ini dan Black telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan saya. Menerusi beberapa perjumpaan dan perbincangan, Black setuju untuk mengadakan majlis perkahwinannya di satu lokasi di Kuala Lumpur (nama lokasi dirahsiakan).

Selepas melakukan beberapa sesi rundingan, pihak lokasi perkahwinan tersebut bersetuju memberi potongan separuh harga daripada RM72,000 kepada RM36,000 dan saya telah membayar RM15,000 sebagai pendahuluan.

Kemudian saya juga sudah membayar RM7,000 kepada pihak katering. Selebihnya RM5,000 adalah bayaran untuk saya dan baki RM3,000 untuk saya uruskan mengenai perkara lain. Segala urusan tersebut bersama bukti resit dan e-mel daripada pihak berkenaan mengenai perbincangan kami.

Bagaimana pula dengan kenyataan Black bahawa anda sudah membayar sebahagian daripada wang tersebut?

Puan WP: Selepas perkhidmatan saya ditamatkan saya tidak ada berjumpa dengan Black, apatah lagi memulangkan duit kepadanya.

Namun setahu saya pihak katering telah memulangkan duit tersebut kepada Black dan saya tidak bercadang untuk memulangkan duit Black kerana ingin saya tegaskan di sini, saya sudah teraniaya dan saya tidak bersalah!

Jadi, bagaimana boleh timbul isu 'melesapkan' duit Black?

Puan WP: Sekali lagi saya tegaskan saya tidak pernah melesapkan duitnya dan saya sebenarnya adalah orang yang teraniaya. Tiga bulan sebelum majlis Black, saya diberhentikan tanpa sebab dan Black bersama pihak pengurusan memaksa saya memulangkan semula wang tersebut.

Bagaimana saya mahu memulangkan wang tersebut sedangkan ia sudah dibayar kepada mereka yang terlibat. Saya juga kesal dengan pihak pengurusan Black tidak cuba menasihatkan Black dan saya rasa Black dipengaruhi oleh yang tidak profesional semasa membuat keputusan itu.

Mengapa pula anda rasa teraniaya?

Puan WP: Ya saya memang teraniaya kerana sejak awal lagi Black tidak mahu menandatangani kontrak yang sudah diberikan kepadanya. Oleh kerana itu, ia memudahkan Black untuk menamatkan perkhidmatan saya sesuka hati dan menuntut kembali wang daripada saya walaupun wang tersebut telah digunakan dalam urusan persiapannya.

Pernahkah anda berselisih faham dengan Black sebelum ini?

Puan WP: Saya tidak ada berselisih faham dengannya sebelum ini. Bayangkan ketika bapa saya tenat, saya dihubungi bertalu-talu daripada pihak Black, sehinggakan bapa saya meninggal dan ketika urusan pengebumian mereka masih menghubungi saya.

Tiga hari kemudian saya datang untuk berbincang bersama Black dan pihak pengurusan. Ketika itu mereka layan saya seperti sampah dan saya sudah dapat merasakan perkhidmatan saya akan ditamatkan.

Black bercadang membawa perkara ini ke mahkamah. Bagaimana pula dengan anda?

Puan WP: Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya, jika dia mahu membawa perkara ini ke mahkamah saya sedia berhadapan dengannya kerana saya ada segala bukti.

Selepas perkara ini berlaku, adakah perniagaan dan reputasi anda terjejas?

Puan WP: Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus dan perniagaan serta reputasi saya tidak pernah terjejas dengan isu ini. Saya tidak bersalah dan bila pelanggan tanya saya sudah jelaskan. Malah mereka juga faham dan mempercayai saya.

Apa nasihat anda untuk Black?

Puan WP: Nasihat saya, sudah-sudahlah membuat cerita buruk mengenai orang lain. Lagi banyak kita bercerita ia seolah-olah membuka pekung di dada. Saya harap Black fikirkan perkara yang positif dan tumpu pada perkahwinannya. Dia pun mahu mendirikan masjid.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers