Ramadan: Amy kurangkan aktiviti seni

Malaysia, Berita, Gossip, Selebriti, Artis Malaysia, Ramadan, Amy, kurangkan, aktiviti, seni
Amy Mastura

AKMALIAH RAZAK, FOTO: IHSAN MYDIN

BEBERAPA hari lagi, seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan bulan mulia lagi penuh keberkatan.

Malah, di kesempatan ini, lebih ramai memilih untuk berehat sementara dan cuba memperbanyakkan amal ibadah.

Begitu juga dengan selebriti kecil molek, Amy Mastura. Ibu kepada dua puteri ini memilih untuk berehat daripada aktiviti seni sepanjang Ramadan.

Menurut Amy atau nama sebenarnya, Amy Mastura Suhaimi, 42, setelah berbulan-bulan bekerja, tiba masanya untuk dia berehat dan memberi keutamaan kepada keluarga.

"Sepanjang Ramadan ini, saya akan cuba mengurangkan aktiviti seni kerana kalau boleh, saya nak berehat sekejap.

"Insya-ALLAH, peluang yang ada ini akan digunakan untuk memperbanyakkan lagi amal ibadah dan menghadiri majlis amal.

 "Kalau boleh, memang saya tak mahu menyanyi langsung pada bulan puasa. Saya hanya menghadiri majlis hiburan dan program amal ditetapkan.

"Namun, jika ada permintaan untuk saya menyanyi, saya akan pertimbangkan," kata pelakon filem Bintang Hati ini.

Latih anak-anak

Sebagai ibu, Amy juga tidak terlepas dari mempersiapkan mental demi anak-anak terutamanya dalam mengajar erti dan nikmat Ramadan.

Menurut Amy yang juga pelakon filem Trauma, Ramadan tahun ini diharapkan dapat memberi suasana yang meriah dan menyeronokkan untuk kedua puterinya.

"Tahun ini merupakan tahun kedua anak saya, Adalia, 8, mula berpuasa. Seperti tahun sebelumnya, saya berharap agar Adalia dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sebaik mungkin.

"Anak sulung pula, Adriana, 12, memang dah lama berpuasa. Jadi, ia tidak menjadi masalah besar buatnya. Saya juga akan melatih mereka untuk menunaikan solat terawih bersama.

"Saya menggalakkan anak-anak untuk bangun bersahur agar mereka tak merasa lapar untuk menunggu waktu berbuka nanti," kata isteri kepada, Alvin Thamm Suffian ini.

Martabak menu pilihan

Setiap kali hadirnya Ramadan, Amy juga tidak ketinggalan untuk mengunjungi beberapa bazar yang dibuka di setiap kawasan.

Malah, menurut pelantun lagu Tapi Itu Dulu ini, dia sememangnya teruja untuk mengunjungi bazar Ramadan untuk mendapatkan makanan kegemarannya iaitu, martabak mini.

"Ramadan terdahulu, sayalah pengunjung setia bazar dan hampir setiap hari saya akan mencari martabak di bazar berdekatan. Ia sudah menjadi menu rutin keluarga kami.

"Untuk hidangan berbuka pula, saya lebih suka menghidangkan makanan yang serba ringkas. Saya akan masak dan selebihnya dibeli di bazar.

"Untuk makanan ketika bersahur pula, saya akan panaskan lauk-pauk yang sedia ada. Ada ketika saya akan masak satu lauk lagi," katanya yang mengakui kehidupan berkeluarga memberikan kepuasan di segenap segi.

Ratu iklan

Terkenal dengan gelaran ratu iklan, wajah Amy sering sahaja terpampang di poster gergasi dan kaca televisyen.

Malah, gelaran itu membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk Amy terus bersinar dan berdiri teguh di dalam industri.

Pernah dilantik sebagai duta dan jurucakap produk antarabangsa termasuk Lifeboey, Quaker Oats, Takashima, Kose dan jam tangan Omega, rezeki Amy masih mencanak.

Terbaru, selebriti awet muda ini terus menjadi pilihan dan dilantik sebagai duta baru produk pencuci, Cif.

"Alhamdulillah, saya dipilih untuk produk ini dan mengikat kontrak selama setahun. Saya guna produk Cif ini selama enam bulan dan ternyata ia adalah produk yang berkesan.

"Selain Cif, saya turut gunakan Sunlight untuk mencuci pinggan mangkuk. Selain berkesan, ia sangat lembut pada tangan.

"Walaupun sibuk bekerja, saya masih lagi menitikberatkan soal penjagaan rumah. Sebelum ini, banyak produk yang saya guna, namun hasilnya kurang memuaskan.

"Bertepatan dengan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti, ramai yang menggunakan dapur dan perkakas memasak untuk menyediakan hidangan raya. Cif dan Sunglight adalah pilihan terbaik!," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran produk Cif dan Sunlight di Mydin Mall, Subang Jaya.

Selain majlis pelancaran produk, syarikat Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd turut mengumumkan kejayaan mereka dalam senarai Malaysia Book of Records setelah berjaya menghasilkan kuali serta kompor gas terbesar di Malaysia berukuran 3 meter, manakala kompor gas pula 4 meter.

Tampil single terbaru

Walaupun sibuk dengan program dan promosi yang disusun bersama syarikat produk yang diwakili, bukan bermakna karier seni Amy terhenti buat seketika.

Ditanya mengenai perkembangan terkini, Amy memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani teater, Nyonya and The Geng di Istana Budaya.

"Selain teater, saya juga akan muncul dalam beberapa drama dan telemovie yang bakal ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang, saya akan menghasilkan single terbaru selepas raya nanti.

"Buat masa terdekat ini, saya masih lagi mencari dan mengumpul material untuk single tersebut. Selepas raya, barulah saya akan mula proses rakaman dan promosi," katanya yang memiliki tujuh album di sepanjang penglibatannya dalam arena nyanyian.

Antara albumnya termasuk Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009).

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers