BIARPUN usianya boleh dikatakan masih mentah, namun bakat yang dimiliki penyanyi remaja popular ini bukanlah calang-calang.
Kemunculannya beberapa tahun lalu pernah menjadi fenomena apabila video muzik nyanyiannya, 'Cinta Muka Buku' yang dimuat naik menerusi laman Youtube berjaya menarik perhatian jutaan peminat muzik tempatan.
Sejak itu, nama Najwa Latiff sering menjadi perbualan ramai tambahan pula setiap percubaan lagunya tidak pernah menghampakan sehinggalah ke hari ini.
Begitu juga dengan penyanyi, Shila Amzah, yang mula dikenali menerusi program realiti One In A Million (OIAM) ini bakatnya juga tidak menghampakan.
Kejayaannya dalam pertandingan nyanyian antarabangsa, 'Asia Wave 2012' telah membuktikan kehadirannya dalam industri bukanlah sekadar menempah kontroversi semata-mata.
Berkesempatan menemui kedua-dua penyanyi ini pada rakaman program Stailista Unplugged, TV9 baru-baru ini, Zass sempat menemu ramah berkongsi perkembangan dan perjalanan seni mereka.
Najwa seronok jadi pelajar
Baru tiga minggu menjalani pengajian di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) di peringkat asasi dalam bidang Pengurusan selama setahun sudah cukup buat penyanyi 'Cinta Muka Buku' ini tertarik menjalani kehidupannya sebagai seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
"Setakat ini saya tidak pernah jangkakan suasana pembelajaran di universiti lebih santai seperti ini.
"Pensyarah dan rakan-rakan sekelas memang 'best'. Walaupun ada di kalangan mereka tahu saya penyanyi, namun mereka tidaklah bertindak seperti peminat-peminat lain. Mereka anggap saya seperti pelajar biasa dan itu membuatkan saya lebih selesa," katanya yang juga dilantik sebagai duta universiti tersebut.
Bertanyakan mengenai pembahagian waktu pelajarannya dengan karier seni, Najwa memberitahu ianya telah disusun dengan baik tanpa memberi masalah kepadanya setakat ini.
"Sama seperti waktu sekolah dahulu, semua jadual saya telah disusun dengan baik supaya kedua-dua bidang ini dapat berjalan dengan lancar.
"Pada setiap hari Isnin hingga Rabu dan Jumaat saya akan fokus pada kelas dan selebihnya saya akan luangkan masa dengan karier nyanyian saya," jelasnya.
Mahu turun berat badan
Ditanya mengenai berat badannya yang kini dilihat semakin bertambah, Najwa memberitahu sebenarnya dia telah pun mengurangkan berat badannya sebanyak 6 kilogram.
Menurutnya, kesedaran menurunkan berat badan mula timbul setelah satu kejadian yang membimbangkan telah berlaku kepada dirinya baru-baru ini.
"Ketika itu saya sedang membuat persembahan tiba-tiba kaki saya tidak boleh berjalan. Sejak itu saya berusaha untuk turunkan berat badan. Kalau boleh saya mahu turun sebanyak 20kg.
"Bukan saya malu dengan bentuk badan mahupun berat saya sebelum ini. Sebelum ini saya memang selesa dengan diri saya. Tapi kalau dah sampai tak boleh bergerak masa sedang menyanyi, itu bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan," ujarnya.
Bagaimanapun Najwa menafikan tuntutan kerjayanya dan tugas yang digalas sebagai pelajar bukan faktor utama penambahan berat badannya sebelum ini.
"Setakat ini saya cuba amalkan diet secara perlahan-lahan. Setiap pemakanan saya akan cuba seimbangkan.
"Tapi untuk lakukan senaman memang saya tidak sempat sebab jadual padat," katanya.
Shila lebih selesa di Shanghai?
Ketika ini, penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Patah Seribu' ini sudah pun berada di Shanghai bagi meneruskan kariernya di sana.
Kata Shila, walaupun menjalani kehidupan jauh dari keluarga, namun dia masih gembira melihat perkembangan kariernya yang diterima baik masyarakat di sana.
"Sekarang ini, saya sangat bersyukur dan gembira. Walaupun jauh, saya masih selesa menjalani karier di sana.
"Di sana, boleh dikatakan saya lebih fokus terhadap kerjaya. Maklumlah, saya masih baru di sana dan perlu berusaha lebih kuat untuk membina nama di sana," ujarnya sambil tersenyum.
Tambah Shila lagi, keadaan yang berbeza di sana berbanding di negara sendiri membuatkan dirinya lebih selesa dan privasi.
"Di sana sudah ramai artis mereka yang jauh lebih popular. Berbeza dengan di sini, kalau keluar tu ada saja peminat yang kenal dan nak bergambar bersama. Dan apa yang kita buat semua orang akan ambil tahu.
“Di sana saya masih 'baby' lagi. Bebas sikit kalau mahu ke mana-mana sebab kalau terserempak dengan peminat pun, mereka akan amati saya dulu betul-betul. Dah lama sikit baru mereka datang dekati saya," katanya.
Kuasai bahasa Mandarin
Walaupun menjalani ibadah puasa, namun itu bukan penghalang buat penyanyi ini bergiat aktif menguruskan kerjayanya yang baru bermula di sana.
Menurutnya, jadual yang padat telah menanti sekembalinya dia di sana.
"Jadual saya di sana memang sangat padat. Sampai saja di sana, saya akan terus ikuti kelas bahasa Mandarin secara terus menerus selama sebulan sebelum tamat pengajian itu.
"Harap-harap saya akan berjaya menguasai bahasa ini dengan baik sebab saya terlibat dalam beberapa program TV di sana," katanya.
Persiapan raya serah pada ibu
Bercerita mengenai persiapan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Shila memberitahu dia serahkan perkara itu kepada ibunya.
"Saya akan pulang semula ke sini dua hari sebelum ketibaan Syawal. Kalau saya sendiri buat persiapan memang tidak sempat dan sebab itu semuanya akan diuruskan ibu.
"Semua persiapan cuma biasa-biasa saja. Lagipun saya hanya akan ada di sini sampai hari raya ketiga sahaja, lepas itu saya akan kembali ke Shanghai untuk sambung pekerjaan saya di sana," katanya.
shila ngan najwa diharap dapat mengekalkan imej yaang bersih..suka juga dengan dorang tambah siti skali..
ReplyDeleteyaaa dua dua artis nie sedang pukui naik harap tiada gossip liar yang akan mungkin is publish kat sini.
Delete