Ifa Raziah manja dengan ibu mertua

AKMALIAH RAZAK
FOTO: ZULFADHLI ZAKI

Malaysia, Berita, Gossip, Selebriti, Artis Malaysia, Ifa Raziah, manja, dengan, ibu mertua
Ifa Raziah Bersama ibu Mertuanya, Khizan Zain


TAHUN ini, merupakan tahun ketiga pelakon dan penyanyi terkenal, Ifa Raziah menyambut kedatangan Ramadan dan Aidilfitri tanpa ibu tersayang, Maimunah Ahmad, 59.

Akui Ifa, walaupun peristiwa itu sudah tiga tahun berlalu, namun kerinduan Ifa pada arwah ibu tetap menebal.

Pun begitu, rasa rindu terhadap ibu terubat kerana Ifa dikurniakan ibu mertua, Khizan Zain, 64, yang cukup penyayang dan menganggapnya tak ubah seperti anak sendiri.

Menurut Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 38, sejak pemergian ibu, ibu mertualah menjadi tempat dia menumpang kasih dan bermanja.

"Dulu, ketika emak masih ada, kami sekeluarga akan bergilir-gilir berbuka puasa bersama, begitu juga dengan Hari Raya.

"Namun, kini tempat saya hanyalah umah ibu mertua. Saya bersyukur sangat dapat ibu mertua yang baik. Mak akan masak apa sahaja makanan yang kami suka.

"Anak juga rapat dengan mak dan sangat menggemari masakan mak. Sekurang-kurangnya rasa rindu terhadap masakan ibu terubat dengan air tangan mak mertua," katanya ketika ditemui pada program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) di Sri Pentas, baru-baru ini.

Menurut Ifa, ibu mertuanya juga memiliki restoran, Restoran Khizan, di Damansara Perdana yang menyediakan pelbagai jenis lauk-pauk.

"Saya memang suka makan masakan mak. Masa mula-mula kahwin dulu, saya memang terus terang dengan mak yang saya tak pandai masak.

"Selepas kahwin, barulah saya belajar sikit-sikit ilmu masakan daripada mak. Pun begitu, kalau saya teringin nak makan apa-apa, saya akan minta mak yang buat.

"Walaupun mak sibuk menguruskan restorannya, namun dia tidak pernah menghampakan permintaan kami," kata ibu kepada Muhammad Shakir Aqili, 8, hasil perkahwinan bersama, Ahmad Yani Abd Rahman.

Ifa Raziah Sudah Lapan tahun Berniaga


Tahun ini merupakan tahun kelapan Ifa bergiat aktif dalam menceburi perniagaan kuih, kek dan biskut raya, Serifa Cookies by Ifa Raziah.

Sama seperti tahun sebelumnya, Ifa memilih beberapa tujuh jenis biskut raya yang menjadi pilihan pelanggan.

"Tahun ini, saya memang fokus kepada penjualan biskut raya sahaja. Tujuh jenis biskut itu termasuk Tart Gulung, Almond London, Apple Crunchy, Golden Coconut, Cappucino.

"Saya juga turut menyediakan tempahan bagi dua biskut raya istimewa, tart buah-buahan dan tart bunga. Harganya pula sangat berbaloi, serendah RM30 dan ke atas sahaja.

"Setiap tahun, saya akan mendapatkan lima pekerja untuk membantu saya dalam menyediakan tempahan tersebut. Walaupun saya fokus pada biskut sahaja, namun saya masih menerima tempahan hamper.

"Sambutan pada tahun ini sangat menggalakkan dan sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Selain jual secara online menerusi laman sosial, saya juga mempunyai beberapa ejen tetap yang memasarkan jenama biskut saya," katanya yang masih membuka tempahan sehingga hujung minggu ini.

Badan Ifa Raziah Makin langsing


Satu ketika dahulu, Ifa pernah disingkirkan serta merta daripada stesen televisyen untuk menggalas watak penting kerana dituduh gemuk dan tidak sesuai dengan watak tersebut.

Namun, menganggap semua itu sebagai satu cabaran untuknya kembali langsing dan mendapatkan bentuk badan ideal, kini Ifa berpuas hati dengan usaha kerasnya.

Tambah Ifa, pengorbanannya selama ini dengan melakukan beberapa aktiviti untuk menurunkan berat badan akhirnya berbaloi setelah memperoleh berat badan 55 kilogram (kg).

"Alhamdulillah, akhirnya saya dapat bentuk badan ini. Selama tujuh bulan saya menyertai kelas tarian zumba setipa minggu untuk menurunkan berat badan yang ketika itu 65 kg.

"Sekarang, saya sudah mula mendapat tawaran lakonan dan nyanyian. Saya sangat berpuas hati kerana usaha saya nyata bukan sia-sia.

"Jadi, selepas ini saya kena berhati-hati untuk makan dan berat badan saya mungkin akan naik sekiranya saya tidak menjaga pemakanan. Maklum lah, bila mak mertua masak, memang rugi kalau tak menjamah.

"Hilang terus niat diet bila tengok masakannya," kata Ifa sambil ketawa kecil.

Bertanya mengenai perkembangan terkininya, Ifa memberitahu dia kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Horey-Horey Raya bersama Tomok untuk siaran RTM 1 dan beberapa drama sempena hari raya nanti.

Selain itu, Ifa juga masih aktif dalam bidang nyanyian dan turut menerima undangan nyanyian serta persembahan secara tertutup.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers