Tonton filem Isyarat Cinta lebih awal sambil beramal

Tonton filem Isyarat Cinta lebih awal sambil beramal Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Rosyam (kanan) bersama pelakon Isyarat Cinta dari kiri; Adi Putra, Fizo Omar dan Liyana Jasmay. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Berbuat baik ada pelbagai cara dan ia perbuatan terpuji. Lalu, Datuk Rosyam Nor menyeru peminat dunia hiburan di negara ini supaya terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pelakon filem Castello itu berharap masyarakat terutama peminat dunia seni dapat membantu mangsa banjir dengan memperuntukkan RM100 bagi menonton tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta pada 4 Mac ini di Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya, jam 8 malam.

Rosyam yang bertindak sebagai produser bersama filem berkenaan berkata, dengan sumbangan itu, orang ramai bukan saja dapat menonton filem berkenaan secara eksklusif lebih awal dari tarikh tayangan sebenar, sebaliknya wang itu dapat dijadikan jariah untuk membantu mereka yang dilanda musibah.

"Saya benar-benar berharap agar semua pihak dapat menyokong usaha menjayakan tayangan amal ini kerana wang kutipan dapat digunakan untuk tujuan kebajikan.

"Bukan saja dapat menonton filem secara eksklusif bersama para artis malah mereka yang membuat sumbangan dapat juga beramal," katanya mengenai projek murni yang diusahakan syarikat produksi RK Screen dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).


Datuk Rosyam Nor

Rosyam berkata pihaknya tidak akan mengambil satu sen pun hasil jualan tiket sebaliknya diserahkan kepada WHAM kerana sebahagiannya akan disalurkan kepada mangsa banjir serta rumah kebajikan terpilih.

Katanya, walaupun keadaan banjir sudah pulih namun pada ketika ini mangsa banjir masih lagi menderita dan sentiasa menantikan bantuan daripada orang ramai khususnya mereka yang tinggal sehelai sepinggang berikutan rumah kediaman musnah dibawa arus.

"Kita jangan ingat mangsa banjir tidak memerlukan apa-apa pertolongan lagi tetapi mereka masih mengharapkan bantuan berterusan daripada kita. Marilah kita sama-sama membantu dengan adanya program ini," katanya.

Rosyam juga yakin Isyarat Cinta bakal mendapat sambutan hangat kerana jalan ceritanya yang menarik selain memaparkan sebuah kisah cinta luar biasa.

Dalam pada itu Rosyam berkata, orang ramai yang membeli tiket bagi menyaksikan tayangan ini akan diberi peluang untuk beramah mesra dengan pelakon terbabit.

Malah, satu sesi antara peminat dan juga artis akan turut dianjurkan pada majlis berkenaan.

"Program ini wajar mendapat sokongan orang ramai kerana ia dapat memperlihatkan kerjasama antara penggiat seni iaitu artis, wartawan hiburan dan penyokong dunia hiburan yang sama-sama memainkan peranan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Selain tiket bernilai RM100, turut dijual tiket untuk tempat duduk khas berharga RM300, RM500 dan RM1,000.

Untuk tempahan tiket dan sebarang pertanyaan mengenai tayangan amal ini hubungi 017-2429699 (Bohari) dan 012-2578884 (Amie).

Isyarat Cinta, mengisahkan perasaan cinta pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Iskandar (lakonan Adi Putra) yang cacat pendengaran dengan Dhia (Liyana Jasamy) yang buta.

Hubungan mereka terjalin ketika Iskandar cuba menyelamatkan Dhia dalam satu kemalangan.

Ariel (Fizo Omar) bertindak sebagai orang tengah dalam menghubungkan kedua-dua mereka kerana masalah kecacatan yang mereka alami. Namun, dalam masa yang sama Ariel turut mempunyai perasaan terhadap Dhiya yang akhirnya menimbulkan konflik selepas itu.

Filem Isyarat Cinta ditunjangi Liyana Jasmay, Fizo Omar dan Adi Putra di bawah arahan Bade Azmi. Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 19 Mac depan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers