Mangsa banjir di Kemaman dibenarkan pulang

Mangsa banjir di Kemaman dibenarkan pulang Oleh Azman Mahmood

bhkt@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Seramai 159 mangsa daripada 46 keluarga di tiga pusat pemindahan banjir di Kemaman, sejak kelmarin sudah pun pulang ke rumah masing-masing pagi ini.

Mangsa terakhir seramai 33 orang daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Teladas pulang pada jam 9.30 pagi.

Sebelum itu kira-kira 126 mangsa daripada 37 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Balai Raya JKKK Padang Kubu dan Masjid Lama Padang Kubu, dibenarkan pulang kira-kira jam 8 pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, berkata semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air surut sepenuhnya kira-kira jam 7.30 pagi.

Katanya, Kampung Padang Kubu dan Kampung Ayer Puteh dinaiki air kelmarin berikutan hujan lebat dalam tempoh 24 jam. Bagaimanapun, air surut hari ini dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.

Sementara itu, dua jalan yang dinaiki air di dua kampung berkenaan masih ditutup. Jalan Pasir Gajah - Ayer Puteh masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam satu meter.

Jalan Kampung Batu 16 - Jalan Ayer Puteh pula ditutup kepada kenderaan ringan kerana ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers