Kembali martabat lagu Melayu

Kembali martabat lagu Melayu

Kembali martabat lagu Melayu


SELEPAS dua tahun, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA), ia terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar luar negara yang menimba ilmu di sini.

Tahun ini kali ketiga ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Jabatan Penyiaran, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pertandingan akhir PALMA 2013 akan diadakan pada 30 November ini, bertempat di Auditorium Perdana Angkasapuri, RTM dan bersiaran secara langsung di TV1, jam 9 malam.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rosli, pada awalnya penganjuran PALMA kedengaran agak pelik kerana lagu Melayu dinyanyikan orang bukan warga negara Malaysia, sedangkan lagu Melayu tidaklah begitu popular jika dibandingkan dengan lagu dari negara lain.

“JKKN berjaya membuktikan bahasa Melayu dan lagu Melayu dapat diterima pada peringkat antarabangsa. Ada peserta yang boleh menyanyi dengan baik sekali malah kita tidak melihat wajah mereka pasti pendengar lagu itu dinyanyikan oleh penyanyi Melayu.

“Program ini adalah platform bagi meningkatkan kemahiran warga asing terhadap lagu dan bahasa Melayu antara cara bagi memartabatkan bahasa kebangsaan selain mengekalkan khazanah budaya negara.

“Selain mengiktiraf bahasa Melayu sebagai perhubungan rasmi di persada dunia melalui pembudayaan bahasa, pertandingan ini diharap dapat membuahkan hasil yang baik serta dapat melahirkan rakyat Malaysia yang sayangkan bahasanya sendiri.

“Di samping itu, usaha penganjuran program ini juga dapat mengetengahkan komposer dan mengembangkan populariti lagu Melayu ke luar negara dan menjadi duta memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat luar melalui muzik,” katanya.

Kembali martabat lagu Melayu

Terima sambutan hebat

PALMA 2013 turut mendapat maklum balas positif daripada warga asing yang terdiri daripada pekerja kedutaan dan suruhanjaya tinggi, perwakilan negara luar termasuklah yang sedang berkhidmat di sektor swasta serta kakitangan dan pelajar pusat pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).

Norliza berkata, tahun ini seramai 126 warga asing mewakili 32 negara yang menetap di sini mencuba nasib melalui uji bakat yang diadakan bermula 6 Julai dan berakhir 26 Oktober lalu.

“Bagaimanapun hanya 11 peserta bertuah saja yang berjaya melangkah ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 30 November ini,  jam 9.00 malam,” katanya.

Sebelas peserta itu, Syed Junaid Raza, Pakistan dengan lagunya Itu Kamu dari  kumpulan Estrange, Cai Meiling, China (Cinta Abadi - Soo Wincci), Shanaka Nirmal Sirinanda, Sri Lanka (Perpisahan - Anuar Zain),  Chogyal Nuchu Dorji, Bhutan (Cukup Indah - Alif Satar), Sayed Mohammad Hasheimian, Iran (Kepadamu Kekasih - Datuk M Nasir, Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah), Nurul Bagitova, Kazakhstan (Patah Seribu - Shila Amzah), Mbasu Benard Okaro, Kenya (Dwihati - Aizat & Yuna), Senyange Shaban, Uganda (Jangan Nakal - Alif Satar), Taniguchi Mami, Jepun (Kurik Kundi - Datuk Siti Nurhaliza), Kazi Yasin Islam, Bangladesh (Bahagiamu Deritaku - Hafiz) dan Brunhilde Marie Julia Geuth, Belgium (Kalis Rindu - Elyana).

Kembali martabat lagu Melayu
Brunhilde Marie Julia Geuth dan Mbasu Benard Okaro antara peserta tahun ini.

Johan menerima RM10,000, naib johan - RM8,000, tempat ketiga - RM 6,000 dan lapan hadiah sagu hati - RM1,000. Mereka semua turut  mendapat pakej penginapan tiga hari dua malam sumbangan Tune Hotels.

Manakala Persembahan Terbaik menerima RM1,000, Vokal Terbaik - RM1,000 dan Hadiah Khas Juri RM1,000.

Sementara itu, tetamu kehormat yang akan hadir pada pertandingan akhir ini ialah, Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers