Jangan dibangkitkan kontroversi!
RUPA bukanlah antara tiket utama buat seseorang pelakon berjaya dalam karier malah tanpa bakat yang baik, mungkin nama mereka tidak akan bertahan lama dalam industri ini.
Seperti tiga pelakon hebat, Rusdi Ramli, Zizan Nin dan Linda Hashim, bakat lakonan mereka bukanlah calang-calang tambahan pula pengalaman lakonan yang mereka miliki dalam industri lakonan tempatan sememangnya diakui.
Tawarkan apa sahaja watak kepada ke tiga pelakon ini, pasti hasilnya tidak menghampakan dan tidak hairanlah mereka diberi kepercayaan untuk membintangi filem sejarah yang mengisahkan peristiwa tragedi 13 Mei 1969, 'Tanda Putera'.
Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang pernah mencetuskan kontroversi sehingga terpaksa di tundakan tarikh penayangannya tahun lalu akhirnya bakal ditayangkan bermula 29 Ogos ini.
Jom kita tinjau apa kata mereka mengenai pengalaman mereka menjalani penggambaran filem ini.
Bukan isu politik- Rusdi
Biarpun telah berpengalaman membawa watak-watak yang berbeza, namun pelakon Rusdi Ramli akui watak yang dipegang sebagai Tun Abdul Razak Hussein memiliki cabarannya yang tersendiri.
Menurutnya, filem sejarah itu banyak menguji kemampuan lakonannya memandangkan watak yang dipegang adalah berkaitan sejarah.
"Bagi saya, filem ini memang luar biasa dan secara jujurnya saya amat kagum dengan kebolehan pengarah dan penerbit yang sanggup untuk ketengahkan kisah ini.
"Memang ia bukan mudah namun sebagai seorang pelakon, inilah peluang saya untuk tampil dengan sesuatu yang berlainan," katanya.
Ditanya mengenai kontroversi yang melanda filem ini tahun lalu, Rusdi berpendapat perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan memandangkan filem itu bukanlah mengisahkan isu politik semata-mata.
"Sebenarnya susah bagi saya untuk berkata apa-apa mengenai isu ini. Apa yang boleh saya katakan, filem ini mengisahkan tentang sejarah yang benar-benar berlaku.
"Ia bukanlah cerita politik semata-mata, tapi ada diselitkan elemen kemanusiaan di antara persahabatan Tun Razak dan Tun Dr Ismail," jelasnya.
Cabaran terbesar Zizan
Bagi Zizan, tawaran yang datang tidak disia-siakan begitu sahaja malah dia bertekad lakukan sebaik mungkin untuk hasil yang terbaik.
Kata Zizan, pada awalnya dia akui agak gugup membawakan watak yang diberikan sebagai Tun Dr Ismail memandangkan sebelum ini dia memang tidak mengetahui karakter dan peribadi sebenar pemimpin itu.
"Sebelum ini memang saya tidak tahu bagaimana keperibadiannya dan bagi saya itu adalah antara cabaran terbesar buat saya untuk menghidupkan watak ini.
"Selain daripada itu, banyak perkara saya belajar untuk bawa watak ini seperti mendalami ilmu pentadbiran negara dan senario politik yang berlaku di waktu itu.
"Berlakon filem biografi tidak sama dengan berlakon filem atau drama cinta dan kisah kehidupan yang biasa kita saksikan di kaca televisyen,"jelasnya.
Tambah Zizan, faktor utama dia menerima tawaran lakonan filem ini adalah kerana baginya filem ini mampu memberi impak kepada karier lakonannya.
"Tawaran hanya datang sekali, rugi jika saya tolak tawaran ini. Lagi pun ini satu peluang untuk saya mempamerkan bakat lakonan saya dalam genre sejarah dan berasaskan fakta.
"Apa yang saya harapkan agar filem yang dikontroversikan ini mendapat perhatian semua pihak dari generasi sekolah hinggalah golongan senior," ujarnya.
Linda buat kajian
Walaupun sesi penggambaran telah lama berakhir namun Linda akui cabaran memegang watak sebagai Toh Puan Norasyikin iaitu isteri kepada Tun Dr Ismail masih dirasai sehingga ke hari ini.
Menurutnya, membawa watak yang benar-benar wujud bukanlah mudah buat dirinya tambahan pula ia juga adalah peristiwa berkaitan sejarah dan fakta.
"Walaupun ia satu peluang yang baik buat saya namun saya tidak nafikan kesukaran untuk bawa watak ini.
"Tunjuk ajar pengarah dan kajian yang saya lakukan sedikit sebanyak membantu saya untuk jayakan watak ini," katanya.
Menyentuh mengenai keserasiannya bersama pasangannya menerusi filem ini iaitu Zizan, bagi Linda itu bukanlah masalah besar buat dirinya.
"Alhamdulillah, kami tidak susah untuk dapatkan keserasian bersama sebagai suami isteri dalam filem ini.
"Ini bukanlah kali pertama kami digandingkan bersama. Zizan banyak bantu saya dan saya selesa bekerja dengannya," jelasnya.
Tanda Putera
Genre - Drama, suspens, aksi (berlatarkan tahun 70 an)
Tarikh Tayangan - 29 Ogos 2013
Pengarah & Penerbit - Datin Paduka Shuhaimi Baba
Penasihat - Datuk Mohd Mahyidin Mustakim
Pelakon - Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak Hussein), Zizan Nin (Tun Dr Ismail Abd Rahman), Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Riezman Khuzaimi (Sarjan Aman), Kavita Sidhu (Kara), Kuza (Maimon) dan ramai lagi.
Sinopsis
Mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan mereka bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia tentang penyakit leukemia yang dihadapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan dan bimbangkan keselamatan negara.
Mereka berdua berkongsi doktor dan bilik bacaan di rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia mereka dan ketika itu keduanya dirawat oleh Dr Macpherson, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga.
Walaupun mengetahui penyakitnya sudah bertambah teruk dan cuma ada masa dua tahun lagi untuk hidup, Tun Razak masih bersyukur kerana teman baiknya Tun Ismail masih dapat meneruskan perancangannya bagi pembangunan negara.
Namun pemergian Tun Dr Ismail terlebih dahulu akibat serangan jantung menjadi kejutan besar buat Tun Razak dan hampir memudaratkan kesihatannya lagi.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.