NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA
15 Jun 2013
BAGI peminat setia buku terbitan Fixi, novel Pecah karya Khairulnizam Bakeri barang kali bukan lagi karya asing.
Karya dari novel ini bukan sahaja menarik perhatian pembaca malah, turut menarik perhatian syarikat penerbitan Grand Brilliance untuk mengadaptasi karya tersebut ke layar perak.
Mengekalkan judul sama, filem yang diarahkan Asrulhisham Ahmad atau lebih dikenali sebagai Black, dibarisi pelakon terkenal seperti Tony Eusoff, Shoffi Jikan, dan Izreen Azminda selaku teraju utamanya.
Menjalani proses penggambaran selama 16 hari, Pecah mengekalkan 90 peratus jalan cerita daripada novel asal.
Justeru, ada beberapa babak yang telah ditambah dan dibuang demi memantapkan jalan cerita.
Tidak kurang juga, ada beberapa babak yang memerlukan penonton berfikir mengenai sebab ia terjadi dan siapa mereka dalam filem berkenaan.
Malah tidak keterlaluan untuk penulis katakan, Pecah ada kalanya boleh menjadi sebuah filem berat dan tumpuan 100 peratus perlu diberikan dari permulaan cerita kerana segala yang berlaku saling berkaitan antara satu sama lain.
Bila dendam jadi perjuangan
Kesudahan cerita ini membongkar kisah dendam yang menyebabkan rompakan bank itu terjadi. Setiap watak yang ditonjolkan di dalam filem ini mempunyai misi tersendiri untuk menjatuhkan seseorang yang amat dibenci mereka.
Biarpun kelihatan sedikit berat, namun kehadiran Sofi dengan lawak jenakanya yang tidak di buat-buat berjaya menghidupkan dan membuatkan filem ini menjadi sama rata.
Pelakon-pelakon lain juga dilihat tidak cuba untuk terlebih menonjol daripada satu sama lain, sebaliknya saling bekerjasama untuk membuatkan penonton terfikir dalam meleraikan satu persatu persoalan.
Pecah mengisahkan tentang satu rompakan bank yang dirancang oleh Alan (Sofi Jikan), Herman (Tony Eusoff), dan Radi (Along Ezandy).
Dalam kekalutan mengambil wang dan peti safe deposit, Alan telah ditembak di peha oleh Kazim (Ako Mustapha) dan tercedera. Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya melarikan diri bersama wang rompakan sebanyak RM300,000.
Disebabkan kecederaan parah yang dialami Alan, Herman (Tony Eusoff) selaku ketua kumpulan menghantar Alan ke hospital berdekatan dan dalam masa yang sama menyorokkan wang hasil rompakan di dalam hospital itu.
Dalam situasi lain, Lydia (Izreen Azminda) yang bekerja sebagai pengasuh di Rumah Orang Tua Seri Memori panik apabila Bakar tiba-tiba pengsan dan bertindak menghantarnya ke hospital yang sama Alan ditempatkan.
Polis mula menjalankan siasatan ke atas rompakan bank itu dan Inspektor Haikal (Fizz Fairuz) diberi mandat untuk mengetuai siasatan.
Segala konflik mula terungkai satu persatu apabila Inspektor Haikal mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena di antara rompakan bank dan pesakit yang bernama Bakar jagaan Lydia itu.
wah amek dari novel jugak...hehe mcm trend la pulak adaptasi novel ni...
ReplyDelete