ELEMEN muzik sarat diselitkan dalam drama Keroncong Untuk Ana yang turut menampilkan lakonan Johan (dua dari kiri) dan Qi (kanan). |
DI sebalik perkembangan pelbagai genre muzik terkini yang menjadi ikutan golongan muda, seni muzik asli seperti keroncong seolah-olah dipinggirkan generasi sekarang.
Itulah antara senario yang cuba dipaparkan dalam sebuah telefilem terbaharu berjudul Keroncong Untuk Ana yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Erma Fatimah.
Ia mengisahkan tentang kehidupan Pak Hamdi, seorang pemain alat muzik mandolin dalam sebuah kumpulan keroncong dengan anaknya, Rashdan yang dilihat lebih berminat menjadi vokalis dan pemain gitar kumpulan indie, Spam yang diasaskan oleh Amirul.
Bagaimanapun, Amirul selaku ketua kumpulan meletakkan syarat agar setiap ahli supaya memiliki alat muzik sendiri. Rashdan berusaha membeli sebuah gitar elektrik, manakala mandolin kepunyaan Pak Hamdi pula telah hilang.
Dalam majlis prebiu telefilem Keroncong Untuk Ana yang diadakan di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, Erma yang juga selaku penerbit dan penulis skrip menyatakan intipati utama telefilem berkenaan lebih kepada hubungan antara seorang bapa dan anak.
“Ramai yang tahu Keroncong Untuk Ana merupakan sebuah lagu ciptaan Datuk M. Nasir. Saya anggap ia satu cabaran menghasilkan telefilem ini, tetapi saya membuat keputusan untuk memaparkan isu yang berbeza.
“Tidak dinafikan akan ada penonton yang anggap telefilem ini berdasarkan kepada nasib muzik keroncong sekarang, tetapi ia lebih tertumpu kepada jiwa seorang anak yang langsung tidak meminati muzik tersebut,” ujarnya yang mengakui sangat meminati M. Nasir.
Berkenaan dengan keseluruhan jalan ceritanya pula, Erma berkata, akan ada segelintir penonton yang akan mempertikaikannya. Namun begitu, apa yang cuba dipaparkan berdasarkan kepada interpretasinya sebagai pengarah.
Tegas Erma, apa yang ingin disampaikan kepada penonton menerusi Keroncong Untuk Ana, seseorang individu itu tidak boleh dipaksa untuk menyukai sesuatu.
“Tentu ramai yang akan menyangka Rashdan akhirnya akan mengikut jejak langkah ayahnya menjadi peminat muzik keroncong, sebaliknya ia langsung tidak berakhir seperti yang disangka.
“Kalau saya membuat pengakhiran cerita yang sedemikian, saya seolah-olah menipu penonton. Bagaimanapun, saya tetap menekankan generasi sekarang agar tidak melupakan warisan yang semakin ditelan zaman,” jelasnya.
Telefilem yang akan disiarkan di saluran Astro Prima 105 pada 14 Januari ini pukul 10 malam membariskan ramai pelakon popular seperti Datuk Rahim Razali (Pak Hamdi), Qi Razali (Rashdan), Lydiawati (Rohana), Tiz Zaqyah (Rohayu) dan Johan Asa'ari (Amirul).
Mengenai penampilan para pelakon dalam telefilem berkenaan, Erma menyatakan dia sangat berpuas hati terutamanya Rahim Razali yang dilihat sangat berusaha keras menjiwai watak Pak Hamdi.
“Dalam telefilem ini beliau telah membawakan watak yang agak berbeza dengan lakonannya sebelum ini. Memang watak yang dibawakannya itu agak berat, tetapi dia sudah memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Pada masa yang sama Erma juga mendedahkan bahawa watak Rohayu yang dipegang oleh Tiz pula sebenarnya pernah ditawarkan kepada bekas kekasih Qi iaitu Yuna.
“Pada mulanya Yuna kelihatan berminat untuk berlakon, namun dia meminta supaya diberikan sedikit masa sebelum membuat keputusan. Akhirnya, dia menolak kerana merasakan masih belum bersedia lagi ketika itu,” dedahnya yang hampir-hampir berjaya mendapatkan Yuna.
Bidan terjun
Salah seorang pelakon utama telefilem Keroncong Untuk Ana, Lydiawati yang turut hadir pada majlis sama memberitahu dia sebenarnya merupakan bidang terjun untuk melakonkan watak Rohana.
Pada asalnya, watak tersebut sepatutnya dibawakan oleh Fatimah Abu Bakar, namun pada saat akhir dia terpaksa menarik diri setelah dimasukkan ke hospital.
“Saya mendapat panggilan daripada Erma Fatimah untuk berlakon dalam telefilem ini sehari sebelum berlangsungnya penggambaran. Pada mulanya saya agak tertekan kerana tidak dapat membuat persediaan sepenuhnya.
“Skrip pun saya cuma dapat masa hari pertama penggambaran dan saya akui tidak mampu memberikan yang terbaik. Bagaimanapun, saya anggap ia merupakan satu cabaran buat dirinya sebagai seorang pelakon,” ujarnya.
Selain menyifatkan telefilem berkenaan sebuah naskhah yang menarik, Lydiawati juga merasakan banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang menjalani penggambaran pada akhir tahun 2011 yang lalu.
“Dalam telefilem ini terdapat babak yang memerlukan saya menyanyi dan memang agak sukar membawakannya. Pada masa itu, barulah saya sedar bahawa bukan mudah buat seseorang pelakon untuk menjadi penyanyi,” ujarnya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.