Pemilihan baharu jalan terbaik selesai krisis MIC

Pemilihan baharu jalan terbaik selesai krisis MIC


Naib Presiden MIC, Datuk S Balakrishnan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

JOHOR BAHRU: Naib Presiden MIC, Datuk S Balakrishnan berpendapat pemilihan semula yang diarahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak akan menjamin parti berjaya menyelesaikan krisis dalaman berbanding mengadakan pemilihan baharu membabitkan semua jawatan.

Beliau berkata, ini kerana masih akan terdapat isu-isu lain yang timbul sekiranya parti itu terpaksa mengadakan pemilihan semula.

"Ia (isu) disifat tidak berhenti sehingga pemilihan parti yang seterusnya diadakan. Jadi saya fikir ini (pemilihan baharu) adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah supaya ia nampak bersih dan jelas dari peringkat cawangan hingga ke pucuk pimpinan tertinggi," katanya.

Balakrishnan yang juga Pengerusi MIC Johor berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil, di sini, hari ini.

Pada 5 Disember lalu, MIC diarahkan ROS untuk mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari.

Ia adalah susulan dakwaan wujud perkara yang melanggar peraturan parti dan Akta Pertubuhan dalam pemilihan pada mesyuarat Agung MIC ke-68 di Melaka, pada 30 November 2013.

Bagaimanapun, dua hari lalu, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel mengumumkan untuk mengadakan pemilihan baharu terhadap semua jawatan dalam parti berkenaan.

Balakrishnan berkata, pihaknya berharap cadangan Palanivel untuk mengadakan pemilihan baharu mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat.

"Dengan rancangan untuk pemilihan baharu, kami berharap beberapa pemimpin MIC akan berhenti mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat kerana ini (pemilihan baharu) adalah apa yang kebanyakan daripada ahli mahu," katanya.

Beliau juga menggesa sayap parti agar memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing dan mengelak daripada terlibat dengan isu pemilihan semula.

"Pemuda MIC dan Wanita (MIC) tidak mempunyai kuasa untuk mengundi presiden parti, oleh itu mereka tidak boleh mendesak diadakan pemilihan semula," katanya.

- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers