Antara babak dalam pementasan Supermokh Sebuah Muzikal teater di Panggung Sari, Istana Budaya. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO |
Supermokh terbaik!
ITULAH gambaran yang paling tepat buat pementasan Supermokh Sebuah Muzikal teater yang mengangkat kisah hidup legenda bola sepak tanah air terkenal, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, yang mula dipentaskan 6 sehingga 18 November ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Menampilkan Awie sebagai teraju utama, teater arahan Hans Isaac dan Harith Iskandar ini turut membariskan pelakon popular seperti Rashidi Ishak, Dina Nazir, Maya Karin, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Menariknya mengenai teater ini, penonton bukan sahaja dapat mengimbau kejayaan dan kehebatan Mokhtar sebagai bintang tersohor bola sepak negara, bahkan turut dapat melihat sisi berbeza kehidupannya yang mungkin tidak ramai mengetahuinya sebelum ini.
Siapa sangka dalam kesibukan kariernya, Mokhtar merupakan seorang suami yang sangat romantis dan gemar menyanyi untuk isterinya.
Selain seorang bapa yang penyayang, beliau juga mempunyai sifat setia kawan yang tinggi apabila sering menjadi pembakar semangat setiap kali perlawanan berlangsung.
Antara babak dalam pementasan Supermokh Sebuah Muzikal teater di Panggung Sari, Istana Budaya. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO |
Bagaimanapun, beliau perahsia orangnya.
Sekiranya dilanda masalah, beliau lebih suka menyendiri, sehinggalah dugaan besar yang melanda kehidupannya dan terpaksa berundur dari arena bola sepak.
Ternyata kisah peribadi bapa kepada tiga cahaya mata itu banyak menarik perhatian penonton untuk mengenali bintang ini dengan lebih dekat.
Tidak tertumpu pada karakter Supermokh semata-mata, teater yang mengambil masa hampir tiga jam ini turut diserikan dengan kehadiran pelawak, Douglas Lim. Membawa watak sebagai Kevin, penampilan Douglas nyata memenuhi kehendak Hans yang ingin menceriakan lagi pementasan ini.
Menepati setiap pementasan muzikal, Supermokh turut diselitkan dengan 18 buah lagu dengan pelbagai rasa dan emosi.
Lebih menarik, apabila persembahan itu turut dihiasi pelbagai set, latar serta penggunaan teknologi seperti lampu LED bagi memberikan lebih kesan di hati penonton.
Selain itu, tayangan visual sepanjang penglibatan Mokhtar dalam arena bola sepak turut ditayangkan bagi menghormati jasa beliau mengharumkan nama negara di persada dunia.
Mokhtar dilahirkan pada 13 November 1953 dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 38 tahun. Supermokh adalah gelaran untuknya ketika berada di padang...
Antara babak dalam pementasan Supermokh Sebuah Muzikal teater di Panggung Sari, Istana Budaya. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO |
Paling mencabar! - Awie
Memegang watak sebagai Mokhtar Dahari, Awie berkata ia merupakan watak yang paling mencabar sepanjang penglibatannya dalam sebagai pelakon.
Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 45, berkata, biarpun menjalani latihan hampir dua bulan namun, dia masih belum mempunyai keyakinan untuk membawakan watak tersebut.
“Mokhtar Dahari merupakan satu nama besar dalam negara kita. Sudah tentu penonton yang hadir mahukan satu kelainan.
“Jujur saya akui selepas pementasan malam ini, saya masih gementar dan takut,” katanya ketika ditemui selepas berakhir pementasan pertama teater tersebut, Rabu lalu.
Awie memberitahu, dia juga berdepan kesukaran untuk mengenali dan menghayati karakter Mokhtar, memandangkan Allahyarham sudah lama meninggal dunia.
“Saya tak pernah mengenali beliau secara dekat. Hanya bersandarkan rujukan daripada orang yang paling dekat dengan arwah seperti keluarga, rakan dan pasukan beliau sahaja.
"Sepanjang hayat, beliau juga jarang muncul di kaca TV, jadi amatlah sukar untuk saya mengenal dan menjadi 'dirinya'” kata Awie.
Antara babak dalam pementasan Supermokh Sebuah Muzikal teater di Panggung Sari, Istana Budaya. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO |
Kenang jasa Mokhtar Dahari
Dalam pada itu, penerbit dan pengarah Supermokh, Hans Isaac, mengakui sangat berpuas hati dengan pementasan tersebut.
Walaupun berhadapan dengan masa yang singkat namun, dia gembira setelah menonton hasilnya pada malam previu teater itu.
“Tidak dinafikan mulanya saya agak risau dengan tempoh latihan yang agak pendek. Kami juga berlatih siang dan malam agar pementasan ini berjalan dengan lancar.
“Waktu petang kami adakan latihan bola sepak dan malam latihan teater. Saya takut pelakon akan pengsan atau sakit menjelang pementasan. Tapi syukur mereka bersemangat melakukan persembahan ini,” katanya.
Tambah Hans, pementasan teater itu bertujuan untuk memperkenalkan kepada masyarakat mengenai jasa dan pengorbanannya yang membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
“Sebelum ini kita hanya mengenali beliau melalui artikel tapi kali ini saya ingin mereka di luar sana dapat mengingati jasa beliau.
“Bukan kecil peranan beliau kepada negara dan kita harus menghargai sumbangannya.
“Melalui teater ini, kita dapat mengenali siapa Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dengan lebih dekat dan juga bagaimana beliau melalui kehidupan sehariannya selain daripada bola sepak,” kata Hans.
Tegas Hans, Mokhtar Dahari adalah satu nama yang besar di Malaysia dan tidak ramai yang mengetahui perkara di sebalik kehebatan beliau di padang.
“Peminat legenda ini akan dapat mengenali beliau dengan lebih dekat selain turut berhibur kerana ia berbentuk muzikal.
“Kami juga selitkan kisah peribadi beliau bersama isterinya (Tengku Zarina Tengku Ibrahim yang dilakonkan Maya Karin) seperti pertunangan dan pergolakan emosi Mokhtar ketika mahu kembali bermain bola sepak,” katanya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.